Kes gangguan seksual: Doktor digantung kerja, kata menteri

Kes gangguan seksual: Doktor digantung kerja, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata, ini sejajar penemuan Jawatankuasa Siasatan Bebas.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad hari ini mengesahkan seorang doktor kanan yang didakwa terbabit dalam gangguan seksual terhadap beberapa doktor pelatih akan digantung kerja bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan Jawatankuasa Siasatan Bebas mendapati ada alasan mencukupi untuk kementeriannya mengambil tindakan lanjut terhadap ketua jabatan sebuah hospital di Lembah Klang itu atas salah lakunya.

Julai lalu, seorang ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan dilaporkan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pegawai perubatan siswazah (PPS) di bawah seliaannya.

Susulan pembongkaran kes itu, lebih ramai pegawai perubatan, termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan sama kepada pejabat menteri kesihatan serta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat melalui pelbagai saluran.

Dzulkefly kemudiannya mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan salah laku itu.

Jawatankuasa yang merangkumi wakil daripada Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, turut mencadangkan laporan dibuat kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk menyiasat perkara itu di bawah Akta Perubatan 1971.

Dzulkefly tidak menyatakan bila penggantungan itu akan bermula, tetapi menegaskan kementeriannya akan mengambil “tindakan perlu” untuk menggantung doktor berkenaan sejajar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Seorang daripada mereka yang ditemubual dalam laporan itu berkata, satu laporan polis dibuat tahun lalu, tetapi tiada tindakan diambil.

Pada 23 Julai lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, satu kajian yang dilakukan sebuah forum doktor dalam talian, “Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS)” mendapati hampir 80% doktor muda pernah dibuli di tempat kerja.

Kajian DOBBS itu turut mendapati 17% daripada responden menyatakan kes buli itu sangat teruk sehingga mereka pernah mempertimbangkan membunuh diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.