PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Pakatan Harapan (PH) dan Lim Guan Eng mengenai bantuan berjuta ringgit yang diberikan kerajaan terdahulu pimpinannya kepada Pulau Pinang, susulan gesaan untuk Kelantan mengurangkan kebergantungan kewangan kepada kerajaan persekutuan.Bekas perdana menteri itu berkata, di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kerajaan persekutuan memberikan pelbagai dana kepada kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Lim dahulu, termasuk RM650 juta untuk penstrukturan semula bekalan air dan geran RM1.3 bilion membesarkan Empangan Mengkuang.
“Bantuan RM650 juta dari kerajaan persekutuan inilah yang sering disalah guna oleh kerajaan DAP sejak 2011, kononnya mereka berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95% dan kononnya pandai mentadbir, manakala BN tidak pandai,” tulisnya di Facebook hari ini.
Sabtu lalu, Lim dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan ialah penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM913 juta.
Beliau berkata, sejak 2013 hingga 2017, Kelantan menerima RM363 juta bantuan kewangan defisit yang merupakan pemberian kepada negeri menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.
Sehingga 30 Jun lalu, katanya, jumlah pendahuluan yang disalurkan kepada Kelantan berjumlah RM550 juta, penerima terbesar bantuan itu.
“Daripada jumlah itu, pendahuluan yang masih tertunggak dan belum dibayar balik kerajaan negeri Kelantan ialah RM384 juta.”
Lim berkata, kerajaan persekutuan juga memberi pinjaman kepada kerajaan Kelantan dengan baki pinjaman belum selesai berjumlah RM1.4 bilion dan tunggakan RM434.5 juta sehingga 30 Jun lalu.
Najib berkata, tidak wajar Lim memburuk dan menegur kerajaan Kelantan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan persekutuan yang sepatutnya membantu semua negeri, walaupun ia ditadbir parti pembangkang.
“Tidak kira negeri itu di bawah parti pemerintah di Putrajaya ataupun tidak, kita tak patut pinggirkan mereka atas semangat 1Malaysia.
“Yang miskin tidak patut dikecam mengapa mereka miskin dan dihukum dengan alasan tidak mahu menolong mereka lagi kerana mereka masih miskin.
“Sebaliknya, mereka patut dibantu dengan lebih banyak. Bukan dihukum atau dimarah.”
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tidak dinafikan Kelantan antara negari termiskin di Malaysia ketika ini dan beliau menyalahkan “perdana menteri ke-4” yang didakwanya menghentikan projek pembangunan serta keperluan asas di negeri pimpinan pembangkang itu sejak 1990.
Beliau mendakwa sehingga kini “tiada satupun lebuh raya atau infrastruktur air bersih yang sempurna” di Kelantan menyebabkan sumber pendapatan kerajaan negeri terhad.
Katanya, ketika menjadi perdana menteri, beliau membuat pelbagai perancangan dan memberi banyak dana untuk membangunkan Kelantan, termasuk tebatan banjir, infrastruktur air, pengangkutan dan projek kumbahan yang semuanya dibatalkan kerajaan PH baru-baru ini.