Ahli Parlimen Nibong Tebal nafi letak jawatan beri Anwar laluan

Ahli Parlimen Nibong Tebal nafi letak jawatan beri Anwar laluan

Mesej tersebar dalam WhatsApp mendakwa mesyuarat khas PKR bersetuju peletakan jawatan Mansor Othman untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Mesej yang tersebar dalam Whatsapp mengatakan Mansor Othman akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman menafikan mesej tersebar di aplikasi WhatsApp yang beliau akan mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil (PRK).

“Mesej itu tidak betul. Saya nafikan akan melepaskan kerusi Nibong Tebal. Saya tidak akan melepaskan kerusi Nibong Tebal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mesej itu menyatakan mesyuarat khas PKR pada tengah hari ini bersetuju peletakan jawatan Mansor sebagai ahli Parlimen Nibong Tebal dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi itu.

Mesej itu turut menyatakan pengerusi PKR Pulau Pinang itu akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, sumber memberitahu tiada mesyuarat khas PKR diadakan tengah hari tadi.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Mansor yang juga penyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal menewaskan Shaik Hussein Mydin (BN-Umno), Mohd Hilmi Haron (PAS) dan Tan Tee Beng (Bebas) dalam pertandingan 4 penjuru dengan majoriti 15,817 undi.

Sebelum ini, Anwar pada PRK Sungai Kandis dilaporkan berkata, kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberi laluan untuknya bertanding dan kembali menjadi ahli Parlimen.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi perdana menteri ke-8.

Bagaimanapun, kawasan Parlimen yang akan ditandingi Anwar masih menjadi teka-teki dan beliau belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan pengumuman mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandingi bekas timbalan perdana menteri itu hanya akan dibuat sekembalinya Anwar dari Hong Kong, Rabu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.