Sasi The Don kembali dengan ‘ABCD’

Sasi The Don kembali dengan ‘ABCD’

Sasi atau nama sebenar Sasidharan Chandran bekerjasama dengan artis dari India Dr Anuradha Sriram untuk single terbarunya.

Sasi sehingga kini telah menghasilkan 5 album dan sedang menyiapkan album terbarunya berjudul “Timeless”.
KUALA LUMPUR:
Selepas 4 tahun menyepi, bintang pop, Sasi The Don akan membuat kemunculan semula dengan single terbarunya dalam bahasa Tamil berjudul “A B C D”.

Selepas menghasilkan muzik rentak raggae selama 18 tahun, Sasi atau nama sebenar Sasidharan Chandran bekerjasama dengan artis dari India Dr Anuradha Sriram untuk single terbarunya.

“Lagu ABCD ini adalah mengenai kembali kepada perkara-perkara asas. Bermula untuk menghargai perkara asas dalam kehidupan. Saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan lagu ini,” kata penyanyi berusia 40 tahun itu baru-baru ini.

“ABCD” yang digubah oleh Sasi dan ditulis bersama Navin D’navigator dan Saran Narayan akan dilancarkan pada minggu pertama Oktober sempena perayaan Deepavali.

Sasi berkata, beliau berehat selama 4 tahun bagi menghabiskan lebih banyak masa dengan anak perempuannya.

Ditanya mengapa Anuradha menjadi pilihannya, Sasi berkata beliau merupakan penyanyi yang mempunyai personaliti mengagumkan dan pemberi inspirasi kepadanya sepanjang karier beliau dalam muzik.

Inilah kali pertama Anuradha, yang telah menyanyikan lebih daripada 6,000 lagu di Kollywood, bersetuju untuk bekerjasama dengan artis di luar industri filem India.

Sasi pula sehingga kini telah menghasilkan 5 album, dan sedang menyiapkan album terbarunya berjudul “Timeless”.

Ketika ditemui, Anuradha menyatakan kegembiraannya kerana dapat bekerjasama dengan artis Malaysia dan berkata ia adalah satu pengalaman unik bekerja dengan Sasi.

“Saya dikenali dengan melodi dan lagu klasik tetapi lagu ini lebih kepada reggae dan moden. Namun saya gembira kerana dapat melakukannya,” kata penerima anugerah “Kalaimamani” – anugerah tertinggi Tamil Nadu.

Anuradha berkata lagu itu dirakamkan di Chennai, India, manakala Malaysia dipilih sebagai destinasi untuk rakaman klip video lagu tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.