Tian Chua bidas ‘kingmaker’ kerana burukkan PKR

Tian Chua bidas ‘kingmaker’ kerana burukkan PKR

Tian Chua mengkritik seorang pemimpin parti kerana membuat kenyataan yang mungkin tidak boleh diterima PH dan orang ramai.

PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Tian Chua secara terbuka mengkritik seorang pemimpin PKR kerana membuat kenyataan tentang parti yang mungkin tidak boleh diterima oleh rakan-rakan komponen Pakatan Harapan dan orang ramai.

Beliau merujuk kepada salah seorang pemimpin PKR yang juga terlibat dalam “Langkah Kajang”.

“Kita perlu bincang semua langkah dengan teliti terlebih dahulu supaya keutamaan langkah-langkah itu boleh ditentukan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu dipercayai merujuk kepada Naib Presiden Rafizi Ramli, yang malam tadi mengumumkan parti akan mengosongkan 1 kerusi Parlimen minggu depan untuk membolehkan presidenya, dan perdana menteri menanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding.

Menurut New Straits Times, Rafizi berkata PKR sudah mengambil langkah pertama dengan menjadikan Anwar presiden.

“Langkah seterusnya ialah menjadikan dia Ahli Parlimen. Ini kerana ramai yang persoal, mengatakan Anwar tidak berjawatan, bukan wakil rakyat, cuma seorang banduan,” katanya.

Tian Chua di Twitter hari ini berkata: “Siapalah yang melantik dirinya sebagai ‘kingmaker’ untuk semua perkara? Berapa banyak kali kamu mahu burukkan parti dengan Langkah Kajang kamu itu?”

Isteri Anwar dan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan untuk Anwar bertanding.

“Beberapa wakil rakyat kami menawarkan diri untuk mengosongkan kerusi mereka untuk membolehkan Anwar bertanding,” katanya di satu majlis.

Seorang pemimpin PKR yang tidak mahu dinamakan berkata parti patut membincangkan soal pilihan raya kecil untuk Anwar dengan pimpinan PKR dan parti komponen PH.

“Kami tak sedar tentang rancangan itu. Kami tak bersedia jika satu pilihan raya kecil diadakan dalam masa terdekat.

“Kami akan tengok sama ada sekarang masa terbaik untuk langkah seperti itu kerana peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil selepas 9 Mei yang rendah.

“Rakyat lebih berminat dengan PH melakukan lebih baik dari segi ekonomi,” katanya.

Beiau berkata Langkah Kajang pada 2014 juga menyebabkan PAS marah, yang ketika itu menganggotai Pakatan Harapan tetapi tidak dirunding. Beliau berharap perkara sama tidak berlaku dalam kalangan parti komponen PH.

Langkah Kajang digerakkan pada 2014 untuk menumbangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mengangkat Anwar sebagai menteri besar baharu.

Seorang Adun PKR, Lee Chin Cheh, meletakkan jawatan bagi membuka jalan kepada PRK Kajang untuk ditandingi Anwar. Strategi itu dikaitkan dengan Rafizi.

Anwar bagaimanapun disabitkan dalam kes Liwat II dan kerusi itu ditangani Dr Wan Azizah dan dimenanginya.

Dr Wan Azizah kemudian disokong pimpinan parti untuk menjadi menteri besar, tetapi Khalid mendakwa dia diberi keizinan untuk terus berkhidmat kerana mendapat sokongan majoriti Adun.

Selepas beberapa ketika, Khalid meletakkan jawatan dan krisis tamat apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diangkat menjadi menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.