Pasca SST: Pemaju jangka harga rumah tidak berubah

Pasca SST: Pemaju jangka harga rumah tidak berubah

Rehda berkata kos pembinaan lebih rendah tidak secara automatik menyebabkan harga rumah juga menjadi lebih murah.

Terdapat isu lain yang perlu dipertimbangkan pemaju, termasuk pekerja, keadaan pasaran hartanah, kos pematuhan dan tanah, yang mempunyai kesan besar ke atas harga rumah kediaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan pemaju perumahan mengingatkan kemungkinan harga rumah tidak turun berikutan pengumuman kerajaan tentang pengecualian beberapa bahan pembinaan daripada dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berkata kos pembinaan lebih rendah tidak secara automatik menyebabkan harga rumah juga menjadi lebih murah.

“Betul sesetengah bahan binaan lebih murah di bawah SST berbanding di bawah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dulu,” kata bekas pengerusi Rehda, Jerry Chan kepada FMT.

“Akan tetapi bahan binaan hanyalah sebahagian daripada kos. Ia sahaja tidak boleh menjamin harga akan turun dengan banyak.”

Chan berkata terdapat isu lain yang perlu dipertimbangkan oleh pemaju, termasuk pekerja, keadaan pasaran hartanah, kos pematuhan dan tanah, yang kesemuanya mempunyai kesan besar ke atas harga rumah kediaman.

“Walaupun kerajaan mengumumkan pengecualian SST ke atas beberapa bahan binaan akan menurunkan harga rumah, namun saya tidak nampak ia berlaku.

“Kesan pengecualian cukai itu tidak cukup besar untuk memaksa harga turun. Ia akan kekal sama,” katanya.

Bulan lepas Putrajaya berkata bahan binaan seperti simen, pasir dan besi, serta perkhidmatan pembinaan akan dikecualikan daripada SST.

Ia menyuarakan harapan pengecualian itu akan mengurangkan kos pembinaan dan juga mengurangkan tekanan ke atas harga rumah kediaman serta bangunan industri dan perniagaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau menjangkakn kos bahan binaan akan susut sebanyak 10% berikutan pelaksanaan SST pada 1 Sept.

Beliau berkata, 70% harga rumah, termasuk bahan binaan dan kos, boleh dikurangkan stelah GST dihapuskan.

Timbalan beliau, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad juga memberi jaminan harga rumah kediamaan dapat dikurangkan paling sedikit 10% ekoran penghapusan cukai penggunaan itu.

Dalam pada itu Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan menjangkakan penurunan kecil dalam kos pembinaan dalam pembangunan akan datang.

Bagaimanapun setiausaha agungnya, Chang Kim Loong berkata, belum pasti sama ada pemaju akan memindahkan penjimatan kos itu kepada pengguna dengan menurunkan harga hartanah, sekali gus menyuarakan kebimbangan pemaju degil akan mengambil kesempatan atas keadaan itu dengan menambah margin keuntungan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.