
Halimey Abu Bakar dari PKR menang dengan 13,725 undi menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali yang sekadar memperoleh 9,698 undi.
Namun peratusan keluar mengundi bagi PRK Seri Setia hanya 44.1%, berbeza dengan jumlah peratusan mengundi pada PRU14 iaitu 85%. SPR sebelum ini menetapkan sasaran 70% bagi peratusan pengundi membuang undi bagi PRK ini.
Keputusan kali ini seakan mengulangi sejarah PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu apabila hanya 49.8% pemilih berdaftar membuang undi.
Sepanjang tempoh berkempen bagi PRK Seri Setia, pemimpin Umno termasuk presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turun ke lapangan untuk meraih undi buat calon PAS. Kedua-dua parti itu mencipta sejarah baru apabila mereka menyatakan sokongan secara terbuka kepada satu calon pilihan raya sejak 1970-an.
PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.
Di DUN Balakong, PH mengekalkan penguasaan dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah daripada PRK DUN Sungai Kandis.

Wong Siew Ki dari DAP meraih 22,508 undi sementara pencabarnya, Tan Chee Teong dari MCA mendapat 3,975 undi.
Hanya 26,483 atau 43% daripada 62,219 pemilih berdaftar keluar memilih wakil rakyat mereka.
PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng, dalam kemalangan jalanraya Julai lepas.
MCA menyertai pilihan raya ini menggunakan lambang parti sendiri.
PRK Seri Setia dan Balakong menyaksikan PH julung kali menggunakan bendera gabungan itu.
Tiada boikot, cuma cuti panjang
Halimey pada satu sidang media kemenangannya ditanya tentang peratusan keluar mengundi yang rendah tidak percaya pengundi memboikot pilihan raya kecil kali ini.
“Pertamanya cuti yang panjang, dan kedua, cuaca hari ini tidak berapa elok. Saya tak fikir isu boikot atau kerana janji 100 hari,” katanya di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.
Di Balakong, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyuarakan pandangan yang sama.
“Baru lepas pilihan raya umum (9 Mei) dan ramai yang tak balik,” katanya di Dewan Utama Demesne Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.
https://www.youtube.com/watch?v=X4NfM1sw5ug&feature=youtu.be