HSR: YTL bukan kroni saya, kata Najib

HSR: YTL bukan kroni saya, kata Najib

Najib berkata KWSP pemegang saham Gamuda dan MRCB, TH Properties milik Tabung Haji, dan YTL dikaitkan dengan individu lain.

Najib pelik kerana YTL sering dikaitkan dengan seorang individu lain.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali mengatakan kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura melambung kerana “banyak unsur rasuah”.

Ini kerana tender HSR merupakan tender terbuka antarabangsa yang dibuat bersama Singapura dan juga akan ditimbang dan diputuskan bersama republik itu.

“Bagaimana pula Azmin boleh menuduh ada banyak unsur rasuah dalam projek ini?” kata Najib di Facebook hari ini.

Bekas perdana menteri itu juga berkata ada propaganda tular mendakwa dia tidak gembira HSR ditangguhkan kerana “kroni-kroni saya” terlibat dalam projek itu.

Empat syarikat yang didakwa itu adalah Gamuda, MRCB, TH Properties dan YTL, katanya.

“Pemegang saham terbesar Gamuda ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW). KWSP juga pemilik saham terbesar MRCB manakala TH properties dimiliki Tabung Haji.

“YTL pula bukan pun terkenal sebagai ‘kroni’ ataupun proksi saya tetapi sering dikaitkan dengan seorang individu lain.

“Bagaimana 4 syarikat berkenaan didakwa sebagai kroni-kroni saya, saya pun pelik,” katanya.

Semalam, Azmin ketika berceramah di malam terakhir kempen pilihan raya kecil DUN Balakong dilapor berkata kos HSR “terlalu tinggi kerana terdapat banyak unsur rasuah”.

Azmin berkata hasil rundingannya dengan Singapura menyaksikan republik itu bersetuju untuk menangguhkan projek itu sehingga 2020, yang akan diteruskan “dengan penjimatan kos”.

Menteri pada 5 September lepas mengumumkan Malaysia perlu membayar SG$15 juta (RM45 juta) kepada Singapura sebagai kos abortif menangguhkan pelaksanaan projek HSR.

Azmin di Parlimen 18 Julai lepas berkata kos keseluruhan projek itu mencecah RM110 bilion, dan bukan RM55 bilion, kerana “banyak kos tersembunyi” yang tidak didedahkan, seperti perbelanjaan untuk pengambilan tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.