Kerajaan bakal wujud program ‘job exchange’ bantu maknyah

Kerajaan bakal wujud program ‘job exchange’ bantu maknyah

Ia sebagai usaha membantu golongan ini keluar daripada belenggu sebagai pekerja seks.

Golongan transgender akan diberikan kemahiran, kelayakan atau sijil untuk menceburi bidang perniagaan, andaman, solekan, katering dan rekaan fesyen. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Kerajaan bercadang mewujudkan satu program bertukar kerjaya atau “job exchange” kepada golongan maknyah atau transgender di negara ini dalam usaha membantu golongan ini keluar daripada belenggu sebagai pekerja seks.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh berkata, program yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan itu dijangka mampu memberi masa depan yang lebih cerah kepada golongan berkenaan selain pendapatan yang lebih baik.

“Hasil pertemuan yang kita lakukan, ramai di kalangan mereka yang mengakui mahu kembali ke pangkal jalan, namun tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik yang menyebabkan akhirnya mereka kembali terjebak dengan pekerjaan lama.

“Sehubungan itu melalui program ‘job exchange’ ini kita mahu mereka secara sukarela meninggalkan pekerjaan seks itu dan bukannya dengan paksaan. Mereka akan diberikan kemahiran, kelayakan atau sijil untuk menceburi bidang perniagaan, andaman, solekan, katering dan rekaan fesyen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Persatuan Insaf Pahang (PIP) di Taman Kampung Padang Damai, Jalan Sungai Lembing, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Ruslan Said; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Naemah Fairus Mohd Jelani dan Pengerusi PIP, Mohamed Bakri Abu Bakar.

Menurut Fuziah, pada masa kini program seperti itu telahpun dilaksanakan oleh PIP yang terbukti memberikan satu nafas baharu kepada golongan berkenaan.

Berikutan itu badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak 2002 itu tersebut turut diberikan tanggungjawab membantu menyediakan kertas kerja program tersebut sebelum ia diperluaskan ke negeri yang lain.

Sementara itu Mohamed Bakri, persatuan yang kini mempunyai seramai 70 ahli itu menyifatkan langkah berkenaan merupakan satu perkara yang telah lama dinantikan oleh maknyah atau transgender, untuk membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Katanya, dalam masa yang sama masyarakat juga diharap dapat bersama-sama membimbing golongan ini daripada terus tersasar dan bukannya menolak mereka dengan pelbagai kecaman serta sindiran.

“Rata-rata daripada ahli persatuan adalah mereka yang mahu berubah serta perlukan bimbingan. Kami amat memerlukan sokongan moral dan kaunseling terutama daripada masyarakat sekeliling, ibu bapa, keluarga serta para ilmuan.

“Kami faham hukum agama tiada sebarang kelonggaran tetapi bantulah kami untuk kembali ke pangkal jalan. Saya amat berharap Jaip juga dapat menghantar guru agama untuk membimbing kami,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.