
Portal DetikNews memetik pegawai polis, Arief Sulistyanto sebagai berkata, gadis yang dikenali sebagai Entin Suntini itu diselamatkan wanita warga Indonesia yang menetap di Kuala Lumpur ketika ditemui sedang menangis di kedai milik warga Bangladesh itu, Isnin lalu.
Menurutnya, ketika ditemui, lelaki terbabit mengaku Entin sebagai isterinya.
“Namun, disebabkan Ai Maryati melihat Entin masih terlalu muda, lalu dia tidak percaya dan segera membawa Entin ke restorannya dan Entin tinggal sementara bersama dengan wanita itu,” kata Arief merujuk wanita yang menyelamatkan gadis tersebut.
Katanya, pada Selasa Entin hilang dari rumah wanita tersebut dan dijumpai di sebuah stesen bas bersama 3 lelaki Bangladesh.
“Dari apa yang diceritakan Entin, dia dijanjikan 3 lelaki itu untuk dibawa ke Johor.
“Selain itu 3 lelaki terbabit juga memberikan wang sebanyak RM53 agar Entin setuju mengikut mereka, namun Ai Maryati segera menarik tangan Entin dan membawanya kembali ke rumah,” katanya.
Gadis yang berasal dari Sukabumi itu kini ditempatkan di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal.