
Anggota majlis tertinggi parti itu Martin Tommy berkata MA63 tidak harus digunakan sebagai “senjata politik” untuk membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan baru.
“Tidak ada gunanya kita mengimbau kisah lama. Sebaliknya kita perlu bergerak ke depan dan terus bersatu bagi mengatasi isu berkaitan MA63,” katanya hari ini.
Martin yang merupakan setiausaha politik kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, diminta memberi respons terhadap kenyataan pemangku ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut baru-baru ini mengenai status terkini MA63.
Mandut berkata, beliau bingung apabila membaca laporan mengenai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan pimpinannya berjanji mahu “menghidupkan semula” MA63 dan melaksanakan peruntukan yang terkandung di dalamnya.
Beliau berkata, MA63 tidak pernah “mati” kerana ia merupakan “perjanjian hidup” yang melindungi hak negeri Borneo dan rakyatnya.
Martin berkata, beliau percaya kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang turut dianggotai PBS telah melakukan yang terbaik bagi mengatasi isu itu tetapi rakyat masih tidak berpuas hati.
“Sekarang masa kerajaan baru mengatasinya. Beri kami peluang,” katanya.
Beliau juga mengingatkan tentang jaminan Dr Mahathir bahawa Sabah dan Sarawak akan mendapat faedah sama seperti negeri lain di semenanjung.
Semasa sesi pertanyaan pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 1 Sept lepas, Dr Mahathir juga berkata MA63 akan dihidupkan semula bagi membolehkan janji yang digariskan dalam perjanjian itu dipenuhi.
“Insya Allah, kita akan cuba,” katanya.
Martin berkata, sekiranya BN yang memerintah negara lebih 60 tahun serius dalam mengatasi isu itu, ia boleh berbuat demikian sejak lama dulu.
“Walaupun kerajaan PH baru berusia 5 bulan, ia mempunyai strategi untuk mengatasi isu yng sensitif dan rumit itu,” katanya, dan menambah pihak pembangkang tidak seharusnya terlalu cepat menghukum kerajaan berhubung perkara tersebut.
Katanya, menghidupkan semula MA63 bukan bermakna ia telah “mati”, sebaliknya ia diabaikan sejak sekian lama.
“Dr Mahathir berkata Sabah, Sarawak dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah wilayah tersendiri sebelum dan selepas pembentukan Malaysia.
“Justeru kata Dr Mahathir kerajaan PH perlu fokus ke arah pelaksanaan syarat dan perkara yang terkandung dalam MA63,” katanya.
Kata beliau, bagi mencapai matlamat itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Kabinet mengenai MA63 untuk mengenal pasti perkara yang perlu dilaksanakan tetapi selama ini tidak diendahkan kerajaan sebelum ini.
“Jawatankuasa khas Kabinet itu antara lain diberi tugas mencadangkan pindaan ke atas Perkara 1(2) perlembagaan persekutuan dengan memasukkan semula peruntukan asal yang berbunyi:
“Negeri-negeri persekutuan hendaklah terdiri daripada negeri-negeri Malaya iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Selangor dan Terengganu, sementara negeri-negeri Borneo adalah Sabah dan Sarawak.”
Dengan pengenalan semula peruntukan itu katanya, Sabah dan Sarawak boleh dilihat sebagai rakan kongsi statutori yang setaraf dengan Malaya.
“Apabila Perkara 1(2) dipinda, perkara lain akan berjalan mengikut hak kita seperti terkandung dalam MA63,” kata beliau.