Telur penyu: Kes Ismail Sabri saman akhbar selesai secara baik

Telur penyu: Kes Ismail Sabri saman akhbar selesai secara baik

Pada Mac 2017 Ismail Sabri menyaman penerbit akhbar Daily Express berhubung penerbitan 3 artikel mengenai hidangan telur penyu di Sabah.

Ismail mendakwa artikel berkenaan diterbitkan untuk memburukkan dan mencemarkan reputasinya selain mempersenda kedudukannya sebagai ahli politik.
KUALA LUMPUR:
Kes saman bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap syarikat penerbitan akhbar Daily Express dan editornya, James Sarda berhubung penerbitan 3 artikel berkaitan hidangan telur penyu dalam satu majlis di Sabah, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Bhag Singh mewakili Sabah Publishing Sdn Bhd dan James kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye, yang kemudiannya merekodkan penyelesaian saman berkenaan.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Samsinaralia Sahar, yang mewakili Ismail Sabri.

Bagaimanapun, terma penyelesaian kes itu tidak didedahkan kepada media.

Ismail Sabri memfailkan saman itu pada 30 Mac 2017 dengan mendakwa defendan telah dengan salah dan berniat jahat menerbitkan 3 artikel di akhbar Daily Express bertajuk “Minister and Sabah YB have yet to comply: Dept” bertarikh 24 Jan 2016, “Beluran turtle eggs dinner: Findings left to the AG” pada 3 Sept 2016, dan “Explain ‘turtle egg’ confusion first, Lim tells Minister” pada 6 Sept 2016.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri juga mendakwa artikel berkenaan diterbitkan dengan sengaja untuk memburukkan dan mencemarkan reputasinya selain mempersendakan kedudukannya sebagai ahli politik.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang mendakwa artikel itu seolah-olah menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab, tidak menghormati Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1967 dan tidak mempedulikan proses siasatan.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan memohon maaf selain menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teruk dan teladan.

Dalam pernyataan pembelaan, Sabah Publishing dan James, menafikan telah mencetak dan menerbitkan artikel itu secara salah dan berniat jahat.

Defendan mendakwa bahawa artikel tersebut yang disiarkan telah diterbitkan dalam keadaan perlindungan bersyarat tanpa niat jahat.

Pada 2 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sabah Publishing dan James terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Okt 2017 yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman fitnah difailkan Ismail Sabri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.