
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya memberikan tempoh selama 7 hari bermula esok kepada Maszlee untuk meletakkan jawatan, memandangkan keputusannya itu menimbulkan kemarahan mahasiswa.
“Sekiranya beliau masih berdegil untuk memegang jawatan tersebut, satu bantahan secara besar-besaran akan dilakukan di UIAM oleh mahasiswa Malaysia.
“Ini adalah amaran dan janji daripada kami. Percayalah, apabila kami berjanji, kami akan tunaikan janji kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 7 Jun lalu, Maszlee memberi jaminan kepada pentadbiran universiti bahawa institusi itu tidak akan disalah gunakan oleh sesiapa, termasuk dirinya demi kepentingan politik.
“Ini adalah era baru, saya akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan salah gunakan universiti untuk kepentingan politik, ia termasuk saya,” katanya.
Faizzuddin berkata, Maszlee seolah-olah “gelap mata” dengan kehidupan mewah apabila hidup berkuasa sebagai seorang menteri, hingga lupa prinsip perjuangan untuk mengangkat autonomi universiti awam daripada pengaruh politik.
“Gamis menyeru kepada Maszlee untuk bermuhasabah, bertaubat dan kembali memikirkan soal perjuangan untuk menyerahkan kembali universiti awam kepada ahli akademik secara sepenuhnya.
“Bahkan meletakkan jawatan serta merta bagi menghormati perjuangan dan janji yang sudah ditaburkan sewaktu PRU14 (pilihan raya umum ke-14) yang lalu,” katanya.
Terdahulu, Adun Bukit Tunku, Lim Yi Wei turut menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIAM yang baharu.
Lim yang juga pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Petaling Jaya Utara berkata, sebagai ahli politik yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan, memegang pula jawatan tertinggi di sebuah universiti jelas akan mewujudkan konflik kepentingan.
UIAM dalam kenyataannya, bagaimanapun mempertahankan Maszlee sebagai presiden baharu, mengatakan pelantikan itu dipersetujui oleh ketua perlembagaannya, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
UIAM juga berkata, pelantikan Maszlee disokong Rektor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.