
Beberapa minggu lalu ketika Sukan Asia di Indonesia, kita dikhabarkan mengenai seorang ibu bapa yang menamakan anak mereka Asian Games apabila lahir pada hari pelancaran sukan itu di Palembang.
Semalam, di Kedah, Malaysia terbaca berita ibu bapa yang menamakan anak lelaki mereka berusia 6 tahun sebagai Durry Yan dan anak perempuan mereka berusia setahun sebagai Nur Rambutt’an.
Hari ini bayi perempuan kembar 3 dari Indonesia pula dinamakan Avanza selepas lahir dalam kereta Toyota Avanza.
Lelaki dikenali Azri Prihatna dipercayai dalam perjalanan menghantar isterinya Mumun Muafiyah ke hospital selepas didapati sakit lebih awal daripada jadual.
Menurut laporan portal Kompas.com, doktor memberikan tarikh jangkaan kelahiran pada 22 September namun anak kembar 3 itu dilahirkan hampir sebulan awal iaitu pada 27 Ogos.
“Saudara saya tolong menghantar isteri yang menangis kesakitan menggunakan kereta Avanza miliknya,” kata Prihatna.
Oleh kerana tidak sempat untuk dilahirkan di hospital di RS Cilegon yang berlokasi 25 km dari rumahnya, mereka mengambil keputusan untuk ke mana-mana klinik berdekatan.
“Baru jalan dalam 5 kilometer, isteri saya menangis sakit dan sudah ada yang nak keluar. Dibantu saudara saya, dia melahirkan anak pertama. Kami terus cari klinik terdekat,” ujarnya.
Selang 5 minit, anak kedua dan ketiga dilahir, menjadikan 3 kembar perempuan.
Walaupun selama ini pasangan tersebut mempercayai anak mereka kembar 2, kedatangan bayi ke-3 dikatakan satu restu dan kejutan yang tak disangka.
“Kami lihat juga kalau ada yang ke-4, tetapi tiada,” katanya.
Prihatna ke klinik di Pulo Ampel membawa isteri dan anak untuk rawatan lanjut.
Ekoran itu, Prihatna menamakan anaknya Nazrina Khaira Avanza, Nazrina Haura Avanza dan Nazrina Khaula Avanza.
“Saya mendapati Avanza mempunyai maksud yang baik iaitu maju dan peningkatan. Saya cuma berharap anak-anak saya membesar dengan sihat dan baik,” katanya.