
ASA mengalu-alukan pelantikan Maszlee kerana beliau seorang sarjana yang cemerlang dalam bidangnya, dan mempunyai rangkaian yang kuat dengan sarjana di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
“Sebagai seorang bekas ahli akademi di UIA, beliau amat memahami budaya dan persekitaran akademik di universiti ini,” katanya dalam kenyataan.
ASA berkata UIA unik berbanding universiti awam lain dari segi struktur. Ia diketuai seorang ketua perlembagaan, yang sekarang disandang Sultan Pahang, dan lembaga gabenor yang dianggotai duta-dua dari negara-negara Islam terpilih mewakili ketua-ketua negara masing-masing.
“Oleh itu, munasabahlah seorang anggota kanan kerajaan, yang memegang portfolio pendidikan, mengetuai lembaga ini,” katanya.
ASA percaya Maszlee individu yang tepat kerana beliau mempunyai pengaruh dan integriti moral, untuk menyelia reformasi dan dalam masa yang sama “mengelakkan masalah diplomatik”.
Persatuan juga menepis tanggapan pelantikannya sebagai presiden UIA ke-8 adalah campurtangan politik.
“Presiden ke-2 dan ke-3 UIA adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak, yang memegang portfolio itu semasa menjadi menteri pendidikan,” katanya.
Pelantikan Maszlee mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan.
Bekas presiden UIA Tan Sri Rais Yatim berkata seorang presiden UIA mempunyai banyak kuasa dan menjadi perantara antara universiti dan kerajaan.
“Jadi kalau dia ambil satu universiti sebagai presiden, universiti lain macam mana?” katanya.
Maszlee dilantik menggantikan Rais sebagai presiden ke-8 UIA. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat Jun lalu.
UIA sebelum ini mempertahankan pelantikan Maszlee, mengatakan ia dipersetujui oleh ketua perlembagaannya, Sultan Ahmad Shah.
Pertubuhan mahasiswa Islam memberi tempoh 7 hari kepada Maszlee untuk meletak jawatan atau berdepan tunjuk perasaan besar-besaran.