
Anwar berkata dia membuat keputusan itu kerana mahu menyokong pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kerja saya sekarang apa? Tidak ada jawatan apa-apa. Saya beritahu Dr Mahathir juga ketika ini saya tidak mahu apa-apa.
“Baru ini dicadangkan sebagai presiden UIA juga saya tidak mahu, kerana saya nak sokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir,” katanya kepada kira-kira 200 hadirin di satu acara di Ara Damansara malam tadi.
Anwar seterusnya berkata dia sudah lama menolak tawaran itu dan enggan mengulas pelantikan Maszlee yang mengundang kritikan orang ramai.
“Itu mereka bincang dalam Kabinet,” katanya.
Pelantikan Maszlee mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan, tetapi mendapat sokongan daripada UIA dan Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) universiti itu.
ASA menepis tanggapan pelantikannya sebagai presiden UIA ke-8 adalah campurtangan politik.
“Presiden ke-2 dan ke-3 UIA adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak, yang memegang portfolio itu semasa menjadi menteri pendidikan,” katanya.
Bekas presiden UIA Tan Sri Rais Yatim berkata seorang presiden UIA mempunyai banyak kuasa dan menjadi perantara antara universiti dan kerajaan.
“Jadi kalau dia ambil satu universiti sebagai presiden, universiti lain macam mana?” katanya.
Maszlee dilantik menggantikan Rais sebagai presiden ke-8 UIA. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat Jun lalu.
Pertubuhan mahasiswa Islam memberi tempoh 7 hari kepada Maszlee untuk meletak jawatan atau berdepan tunjuk perasaan besar-besaran.