
Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Yazid Othman berkata tidak ada kajian memahamkan orang ramai apakah peratusan ekuiti yang sesuai untuk mencapai objektif DEB, dan kenapa ia perlu dicapai.
“Adakah perlu 30% atau 50%? Kita kena faham kenapa. Tidak boleh hanya letak 30%,” katanya ketika ditemui di pejabat MTEM di Bukit Damansara.
Program tindakan Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1971 dan dasar-dasar seterusnya diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan Bumiputera, mengalakkan penyertaan ekonomi dan sekurang-kurangnya 30% pemilikan ekuiti.
Yazid berpandangan terdapat komponen lain yang boleh dinilai untuk menentukan sejauh mana pencapaian orang Melayu, seperti pendapatan isi rumah dan pemilikan hartanah.
“Tak boleh nilai hanya pada ekuiti. Setakat ini orang Melayu hanya memiliki 23% daripada jumlah modal saham syarikat-syarikat berhad,” katanya.
Terdahulu, MTEM menggesa kerajaan menggubal Akta Sabotaj Ekonomi dan melaksanakannya secepat mungkin bagi menghukum usahawan Bumiputera yang menjual kontrak kepada pihak ketiga.
MTEM juga menggesa satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi memantau penerima kontrak-kontrak kerajaan bagi mengatasi rasuah dan ketirisan yang berleluasa kerana amalan “Ali Baba”.
“Akta ini satu satu elemen penting yang dilihat mampu melahirkan rasa gerun dan peringatan keras kepada usahawan Bumiputera,” kata Yazid.
Beliau berkata RM674.4 bilion daripada RM1.1 trilion yang disediakan kerajaan dibelanjakan untuk perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera tetapi kumpulan itu hanya menyumbang kurang daripada 9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
“Akibat kegagalan kita mengawal sabotaj ekonomi,” katanya.
Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) 1 September lalu mengumumkan ia akan mengkaji undang-undang sabotaj ekonomi bagi melawan amalan menjual kontrak atau menyewa permit kepada pihak lain.
Ketua Pengarah Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata individu yang masih meneruskan perniagaan secara “Ali Baba” boleh dianggap pengkhianat negara.