
Bayangkan Tanggal 31 Ogos, ciptaan Ahmad CB (1982), dan Bahtera Merdeka, ciptaan Kassim Masdor (1996), yang seakan makanan ruji menjelang Hari Kebangsaan.
Namun tahun ini, pemerintah mahu mencuba satu kelainan, menggandingkan Jalur Gemilang dengan punk rock, bagi menguja patriotisme dalam generasi sekarang yang kian luntur.
“Lagu-lagu tradisional mungkin tidak sesuai dengan golongan muda hari ini. Kita perlukan satu pendekatan baru,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
Hasilnya, pemerintah menyerahkan cabaran eksperimentasi itu kepada kumpulan punk rock popular, Bunkface, yang terkenal dengan lagu “Panik” dan “Situasi”.
“Salah ke kalau kita bergembira dengan patriotik?” tanya vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom.
Seperti yang dikatakan, Kita Punya Malaysia mempersembahkan nada yang santai dan melodi yang seronok. Ia bermula dengan lirik yang “catchy”, disusuli alunan drum yang lincah, diselang seli laungan yang mengundang respons.

“Kita kena dekati orang ramai dengan cara yang baru, dengan apa yang generasi sekarang suka untuk dengar,” kata Sam.
Bunkface menyambut baik eksperimen ini kerana ia mengalakkan eksplorasi tema patriotik menerusi genre yang pelbagai disamping menonjolkan citarasa kontemporari.
“Kita tidak mahu bila kata nak sambut bulan kemerdekaan, sama sahaja konsepnya,” kata Eddin, yang percaya kelainan ini bersesuaian dengan arus pemodenan.
Kita Punya Malaysia dipilih sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi lagu tema Hari Kebangsaan ke-61.
Ia menampilkan lirik yang menyeru rakyat menegaskan pemilikan ke atas negara ini, “sayangi Malaysiaku, tanah airku ini kita punya” dan optimis menatap masa depan negara, “jangan lemah bangunlah, buat baru semula, percayalah hari ini kita punya”.
“Kita perlu cuba dahulu. Lagu sangat penting kerana ia dapat menyatukan rakyat,” kata sejarawan Tan Sri Khoo Kay Kim.
Meskipun penyanyi malar hijau seperti Sudirman dan P Ramlee masih menjadi pilihan hatinya, beliau melihat eksperiman ini satu langkah yang bijak.
“Kalau rakyat terima, bagus,” katanya.
Usaha menyegarkan lagu patriotik pernah dicuba sebelum ini, seperti “Aku Negaraku”, ciptaan Audi Mok, Shazee Ishak dan Ad Samad, yang diperkenalkan tahun lepas.