Lain macam sambutan ’31 Ogos’ di Kelantan

Lain macam sambutan ’31 Ogos’ di Kelantan

Sambutan hari kemerdekaan di Kelantan turut melibatkan pertandingan seni suara burung candik, konvoi kelab Volkswagen klasik dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu dan pertandingan ayam serama.

Apakah yang dapat anda gambarkan mengenai sambutan Hari Kebangsaan? Semestinya acara perbarisan, pelbagai persembahan kebudayaan dan aktiviti sukan.

Selain itu, beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan seni suara burung candik, konvoi kelab Volkswagen klasik dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu dan pertandingan ayam serama juga akan berlangsung di sini.

Mungkin sesetengah acara sambutan itu agak berbeza di sini namun, hakikatnya banyak cara boleh dilakukan ke arah memupuk semangat patriotisme dan perpaduan kaum.

Contohnya, dikir barat kini menjadi platform untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat sedangkan asalnya ia merupakan hiburan dan seloka nasihat rakyat, yang sering dipersembahkan di majlis-majlis kenduri kahwin.

Pendikir tersohor Kelantan, Mohd Zain Ismail, 56, atau lebih dikenali dengan nama ‘Jen Endoro’ memberitahu kumpulannya ‘Seri Budi Jati’ menjalankan latihan di kampungnya, Kampung Budi, Bachok di sini sebagai persiapan menyambut kemerdekaan.

Menceburi seni dikir barat sejak berusia 11 tahun, pastinya tidak sukar bagi beliau untuk melahirkan bait-bait lirik dikir barat yang sesuai secara spontan untuk perayaan kemerdekaan, seperti:

“61 tahun kita sudah merdeka

Rakyat beruntung tak kira bangsa

Baik di kampung juga di desa

Malaysia maju rakyat sejahtera

 

Sebelum merdeka hidup tersiksa

Semua rakyat tidak mengira bangsa

Berasa sedih tidak terhingga

Sehingga menitis air mata

 

Ada tertinggal semua harta benda

Ada terpisah daripada keluarga

Semasa itu sungguh azab siksa

Rakyat Melayu hidup huru hara…

Mesej perpaduan

Walaupun sekadar latihan, dikir patriotik yang dipersembahkan itu menarik perhatian ramai sehinggakan para penonton tidak berganjak menyaksikannya selama kira-kira 3 jam bermula 9.30 malam.

Setiap kali diadakan persembahan dikir barat, pasti ramai penontonnya, jadi di sinilah ‘tok jogho’ (tok juara) dan ‘tukang karut’ memainkan peranan untuk menyelit mesej-mesej berkaitan – dan untuk hari kebangsaan, pastinya mengenai semangat patriotisme.

Persembahan dikir barat yang dipercayai wujud di Kelantan sejak 1930an itu mempunyai 3 elemen penting iaitu individu yang menjadi tok jogho dan tukang karut yang lucu bersahaja serta kumpulan awak-awak sebagai penyanyi latar yang cukup ceria. Irama dikir barat boleh dipelbagaikan sama ada irama asli, padang pasir mahupun Hindustan mengikut kesesuaian persembahan itu.

Jen Endoro, Cikgu Sulizi (Sulizi Che Awang), Megat Nordin (Nordin Yusof) dan Halim Yazid adalah antara nama-nama hebat dalam dunia dikir barat dan persembahan mereka dinanti-nantikan ribuan peminat pelbagai usia.

‘Jen’ adalah sebutan loghat Kelantan bagi ‘Zain’ manakala ‘endoro’ adalah cara mereka menyebut ‘endurance’ bagi sebuah motosikal lasak. Dikir barat berjudul ‘Endoro’ itu pernah menjulang nama Mohd Zain sebagai juara dalam pelbagai pertandingan.

Dua peranan yang dimainkan oleh Mohd Zain – tok jogho dan tukang karut – yang membawa beliau memperkenalkan seni budaya itu ke hampir semua negara ASEAN.

Mohd Zain berkata selain sebagai hiburan dikir barat boleh mendidik orang ramai terutama generasi muda jadi, “Lagu-lagu dikir barat harus mempunyai mesej perpaduan, kerana tanpa perpaduan macam-macam perkara tidak diingini boleh berlaku,” kata juara dikir barat peringkat kebangsaan pada 1998 dan 1999 itu.

Memandangkan di peringkat sekolah, universiti, agensi kerajaan dan syarikat swasta juga mempunyai kumpulan dikir barat masing-masing, Mohd Zain berpendapat persembahan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk rakyat dan negara.

Aspirasi patriotisme

Mengulas peranan dikir barat dalam meningkatkan semangat patriotisme, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata nasihat dan mesej menerusi bait-bait lirik dikir barat harus diperluaskan ke arah meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat khususnya generasi muda.

“Banyak lagu dikir barat yang dirakam kini berupaya memberi pengajaran berguna kepada peminat-peminatnya, malah kebanyakan pendikir terdiri daripada golongan terpelajar seperti Halim Yazid, Cikgu Sulizi dan ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata tok jogho dan tukang karut harus memainkan lebih peranan bagi memastikan elemen patriotism dihayati dan berkesinambungan, umpamanya Halim Yazid yang menghasilkan lirik berunsur keberanian mempertahankan hak dan tanah air dalam lirik lagu ‘Tok Janggut’.

“Justeru sebagai pemain utama dikir barat, tok jogho dan tukang karut perlu memastikan lirik dan penyampaian persembahan memenuhi aspirasi semangat patriotisme yang boleh dizahirkan menerusi bait-bait, intonasi dan kostum persembahan dikir barat.

“Malah, ia harus menjadi ikutan remaja sebagai trend siulan harian dan secara tidak langsung budaya patriotisme itu akan menyerap dalam diri kanak-kanak, remaja dan rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Selain persembahan di pentas terbuka, beliau mencadangkan penggunaan media baharu seperti Facebook, Youtube dan WhatsApp dipertingkatkan kerana ia berupaya menjadi medium penyebar utama untuk mendekati golongan muda.

Erat silaturahim

Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Suara Burung Candik, Mohd Arifin Mohammad, 60, berkata Pertandingan Seni Suara Burung Candik 2018 akan berlangsung di Arena Candik di Jalan Sri Cemerlang di sini pada 31 Ogos.

Menurut beliau, hari merdeka adalah antara 5 tarikh utama bagi persatuan itu menganjurkan pertandingan tahunan, yang mana mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari Terengganu dan Selatan Thailand. Kira-kira 80 peserta dengan 150 ekor burung dijangka menyertai pertandingan itu.

Pengerusi Persatuan Serama Kelantan, Wong Sun Meng, 29, pula berkata, pertandingan ayam serama yang merupakan aktiviti mingguan itu selalunya disertai kira-kira 40 peserta.

“Pertandingan pada minggu ini berkebetulan dengan tarikh 31 Ogos, dan keesokan harinya pula bertanding di Tasik Kenyir, Terengganu.

“Pertandingan ayam serama ini dianjurkan untuk mengeratkan silaturahimantara kaum seperti Cina, Melayu dan Siam,” katanya.

Sumbangan anda?

Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Kelantan Nor Wahidah Zainal Abidin berkata penganjuran pelbagai aktiviti sempena hari kebangsaan menggambarkan keharmonian kaum dan negara berada dalam keadaan aman.

Lebih menarik lagi, aktiviti berkenaan berjaya melibatkan ramai golongan muda yang perlu ditingkatkan semangat patriotisme mereka.

“Semangat patriotisme bukan setakat mengibarkan Jalur Gemilang tetapi kita perlu tanya balik apakah sumbangan kita sebagai rakyat kepada negara,” katanya.

Nor Wahidah berkata pihaknya juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan aktiviti memperkasakan keharmonian dan perpaduan kaum.

“Kita bekerjasama dengan NGO, buat aktiviti silang budaya, sukan tradisional supaya rakyat bukan setakat menyambut kemerdekaan tetapi meraikan kepelbagaian budaya yang ada khususnya dalam negeri Kelantan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.