
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mengeluarkan iklan menerusi surat khabar sejak Jun lalu dan memberikan tempoh 3 bulan untuk mereka tampil bagi membantu menyelesaikan beberapa kajian berhubung projek di tapak tersebut.
“Bila tempoh iklan itu sudah habis, kita akan anggap bahawa selesai perkara itu,” katanya kepada pemberita.
Zuraida berkata, esok merupakan hari terakhir bagi semua 27 pemilik itu tampil menyatakan persetujuan mereka.
Namun katanya, setakat hari ini beberapa pemilik unit kondominium berkenaan sudah tampil untuk menyatakan persetujuan ke atas projek yang mahu dilaksanakan itu.
“Ketika ini kita sedang menyelesaikan masalah pemilikan dan sebagainya, ia hampir selesai kerana hari itu 27 pemilik kita tidak dapat kesan dan kita buat iklan kemudian ada beberapa yang datang ke depan, yang lain tidak datang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan KPKT memohon 27 lagi pemilik rumah di kondominium Highlands Tower tampil memberi persetujuan mereka sebelum merobohkan tapak itu.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Sri Mohammad Mentek dipetik sebagai berkata, satu jawatankuasa khas mengenalpasti 111 pemilik rumah itu namun masih memerlukan maklumat daripada 27 pemilik rumah berkenaan yang masih tiada rekod.
Pertengahan Ogos lalu, Zuraida berkata kerajaan merancang untuk menjadikan tapak Highland Towers sebagai taman selepas didapati tidak sesuai untuk pembinaan bangunan atau rumah.
Highland Towers terdiri daripada 3 blok 13 tingkat. Pada 11 Disember 1993, Blok 1 runtuh selepas kejadian tanah runtuh.
Seramai 48 orang terbunuh dalam tragedi itu, termasuk anak lelaki dan menantu timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Musa Hitam. Penghuni 2 blok lain dipindahkan atas sebab keselamatan.
Dua blok itu terbiar sehingga ke hari ini.