
Datuk Dennis Ignatius yang pernah berkhidmat di China berkata, Putrajaya mungkin perlu melantik seorang menteri Kabinet untuk mengurus rundingan dengan China.
Bercakap kepada FMT, bekas pesuruhjaya tinggi ke Kanada itu berkata, beberapa artikel terbaru yang terbit dalam media China membayangkan Beijing menghantar isyarat bahawa ia akan menyokong syarikat negara itu yang mahu mempertahankan kepentingan mereka.
Antara isyarat terbaru ialah ruangan lidah pengarah akhbar Global Times (GT) semalam. GT memang diketahui sebagai akhbar yang mewakili pandangan Beijing.
Tulisan itu muncul selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat China dan mengumumkan penangguhan projek mega disokong China seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur dan Saluran Paip Gas Trans Sabah.
Menurut Ignatius, tulisan itu merupakan cara Beijing memberitahu Putrajaya supaya menyuarakan kebimbangannya melalui saluran diplomatik, bukannya dengan membuat kenyataan terbuka. “Mereka pernah membangkitkan isu tersebut sebelum ini,” kata beliau.
Beliau berkata, China juga mengisyaratkan kebimbangannya berkenaan laporan media yang mencadangkan pembatalan projek di bawah inisiatif One Belt One Road (OBOR) oleh kerajaan Malaysia mewakili permulaan penolakan lebih luas terhadap rancangan Beijing di rantau ini.
“Malah,” katanya, “media kerajaan China telah melancarkan ofensif untuk mengetengahkan kejayaan OBOR dan kesan positifnya kepada banyak negara membangun. Pemimpin negara terlibat dipetik memuji kejayaannya.”
Beliau menambah, China kelihatan berkata bahawa ia memahami kesulitan Malaysia, tetapi Putrajaya juga perlu faham bahawa tindakannya, sekiranya tidak ditangani dengan baik boleh memberi kesan lebih besar.
Dr Ngeow Chow Bing dari Institut Pengajian China Universiti Malaya bersetuju bahawa akhbar GT kelihatan menghantar isyarat kepada Putrajaya supaya ia menyuarakan kebimbangannya melalui saluran diplomatik.
Beliau berkata, tulisan itu adalah “munasabah dan adil” dan kelihatan juga seperti meminta Beijing memeriksa diri sendiri.
Bagaimanapun Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata sidang pengarang GT itu kelihatan seperti memberitahu Beijing supaya “menerima dan menghargai” niat Putrajaya untuk membetulkan pembaziran kerajaan sebelum ini.
Beliau juga berkata, GT mengingatkan tentang reaksi buruk rakyat China sekiranya kepentingan firma negara itu tidak ditangani dengan baik.
“Berdasarkan kuasa pasaran yang besar berada di tangan pengguna China, peningkatan sentimen negatif atau perasaan marah dalam kalangan mereka akan memberi kesan ke atas perdagangan 2 hala, pelaburan dan kegiatan pelancongan, walaupun hubungan sesama kerajaan kekal baik,” katanya.