
Program “SMKDOB Cyclethon 2018 Fun Ride” dengan tema “zombi” anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Onn Butterworth (SMKDOB) bertujuan mengutip dana dan mempromosikan gaya hidup sihat.
Ia juga disasar menjadi program tahunan dalam kalendar Jabatan Pelancongan Pulau Pinang seperti Penang Bridge Run, Star Walk, I Love Penang Run dan Pink Run.
Yang Dipertua PIBG SMKDOB Jazman Shahar Abdollah berkata tujuan utama program adalah mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah menjalankan program kecemerlangan akademik dan kokurikulum serta menampung kos bagi penglibatan pelajar yang cemerlang di dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Ia juga bagi keperluan menaik taraf dan menyelenggara beberapa bahagian sekolah yang amat memerlukan dana,” katanya ketika ditemui di Bernama.
Program itu mendapat kerjasama syarikat Rits Corporate Holding (RCH) sebagai penaja utama dengan sumbangan RM300,000 serta Tasek Gelugor Riders (TGR) sebagai rakan strategik teknikal yang berpengalaman menganjurkan aktiviti kayuhan basikal melibatkan 3,000 hingga 5,000 peserta.
Jazman berkata, majlis pelancaran “SMKDOB Cyclethon 2018 Fun Ride” oleh Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin akan diadakan pada 1 September.
Turut bakal diadakan ialah majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PIBG dan RCH yang akan diwakili Pengarah Urusan RCH, Datuk Ibrahim Yahya.
Program “SMKDOB Cyclethon 2018 Fun Ride” menawarkan sebuah motorsikal berharga RM3,500 sebagai hadiah utama dan pelbagai hadiah cabutan bertuah lain.
Mensasarkan 1,000 peserta, ia terbuka kepada umum untuk 2 kategori iaitu kayuhan 70 km untuk penunggang basikal tegar dan kayuhan sejauh 30 km untuk kayuhan santai bertema zombi.
Penganjur turut menyediakan kaunter percuma untuk orang ramai mendapatkan solekan ala zombi.
Yuran penyertaan adalah RM80 dan maklumat lanjut boleh di dapati di www.facebook.com/smkdobcyclethon atau berhubung dengan sekreteriat program di [email protected].