
Beliau berkata, kajian yang mengambil masa setahun itu dijangka bermula November ini selepas LPK melantik syarikat perunding berkelayakan melalui permohonan cadangan (RFP).
“Selepas kajian ini dibuat, ia akan dibentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan sama ada kita tawarkan kepada syarikat konsesi melalui tender terbuka atau melantik syarikat berdasarkan keupayaan mereka,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, perbelanjaan untuk kajian akan dibayar LPK dan sekiranya kajian itu positif serta boleh dilaksanakan, kos itu akan ditanggung syarikat yang diberikan konsesi pada masa depan.
Loke berkata, kajian itu merangkumi 16 aspek, termasuk kajian pasaran, penilaian impak alam sekitar (EIA) dan sosial terhadap komuniti setempat.
Menurut Loke, pembangunan pelabuhan ke-3 di Pulau Carey adalah projek jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas, memandangkan 2 terminal Pelabuhan Klang, iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat akan mencapai kapasiti maksimum pada 2025.
“Projek ini seluas 283 hektar dengan kapasiti operasi maksimum 30 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki).”
Mengenai memorandum persefahaman MMC Port Holdings Sdn Bhd dan Sime Darby Property Bhd dengan pengendali pelabuhan swasta terbesar di India, Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd pada April 2017 untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu, Loke berkata, kerajaan tidak sepatutnya terikat dengan mana-mana syarikat.
“Kami harap dapat lakukan proses ini (kajian) dengan bebas tanpa bersikap berat sebelah. Kesudahannya, jika kami mendapati pembinaan sebuah pelabuhan baru di Pulau Carey boleh dilaksanakan, maka kami akan menentukan siapa yang akan diberi konsesi itu.”
Mengenai pengumuman bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada tahun lalu projek itu adalah projek pelaburan China, Loke berkata, setakat ini tiada syarikat dari negara itu yang menyuarakan komitmen untuk membangunkan pelabuhan tersebut.
Ditanya sama ada kos pembangunan pelabuhan itu adalah RM200 bilion seperti diumumkan tahun lalu, Loke berkata, kerajaan hari ini tidak terikat dengan pengumuman kerajaan terdahulu.
Mengulas rungutan penerbangan terjejas susulan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 untuk raptai serta sambutan Hari Kebangsaan 2018, beliau berkata, notis mengenai perkara itu dikeluarkan 6 Ogos lalu.
“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah memberikan Notice to Airmen (Notam) pada 6 Ogos untuk memberi peringatan kepada syarikat penerbangan.
“Jadi, adalah tidak benar kita tidak memberikan notis mencukupi. Ada 3 minggu sebelum ruang udara ditutup.”
Penutupan ruang udara itu bermula Isnin llau hingga 31 Ogos ini dari 9 hingga 10.30 pagi bagi memberi laluan kepada latihan pertunjukan udara di Putrajaya, tidak jauh dari kedua-dua lapangan terbang itu.