
Majistret, Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas 7 pegawai itu sehingga Sabtu ini dan mereka disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.
Terdahulu, semua suspek yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari tiba di mahkamah kira-kira 9.05 pagi.
Sementara itu, sumber SPRM yang dipetik Bernama berkata, semua lelaki berusia 34 hingga 49 tahun itu ditahan semalam antara 11.30 pagi hingga 10 malam.
Enam PTD itu ditahan di JPM, manakala “Datuk” itu ditahan ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.
Difahamkan, “Datuk” itu ialah individu penting dalam Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
Pada 8 Ogos lalu, 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman 5 hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14 berjumlah RM3.5 juta.
Antara yang direman ialah seorang pegawai keselamatan gred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan gred 11 hingga 38 yang berusia 31 hingga 51 tahun.
SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM840,700 dan 9 motosikal pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM90,000.