Ringan kepala, kabur penglihatan, ini puncanya

Ringan kepala, kabur penglihatan, ini puncanya

Gejala mirip vertigo ini boleh berpunca dari pelbagai sebab lain yang berkait dengan amalan gaya hidup.

Dalam situasi tertentu, kita mungkin berdepan dengan situasi seperti ringan kepala, pening, rasa mahu pengsan dan penglihatan tiba-tiba menjadi kabur atau gelap. Keadaan mirip vertigo ini mungkin berpunca dari pelbagai faktor lain, tidak semestinya vertigo.

Portal kesihatan MeetDoctor menyenaraikan beberapa penyebab seseorang berdepan situasi yang dinyatakan di atas yang anda patut tahu.

Mungkin ia dapat memberi gambaran jelas mengenai keadaan kesihatan atau amalan gaya hidup sendiri yang menyebabkan situasi sedemikian.

1. Tekanan darah rendah

Apabila tekanan darah turun secara signifikan, kurangnya darah yang membawa oksigen ke otak, maka anda akan berdepan keadaan ini. Kondisi ini mempengaruhi fungsi normal otak, menyebabkan anda rasa pening dan keadaan sekitar berpusing. Ketika tekanan darah turun, gejala lain yang akan berlaku ialah seperti rasa sejuk, mual, muntah dan juga nyeri di dada.

2. Gula darah rendah

Kadang kala, kadar gula dalam darah turun secara tiba-tiba. Hal ini dikenali hipoglikemia. Kekurangan glukosa ini menyebabkan fungsi sementara otak terganggu sehingga ia gagal melakukan tugasnya secara optimum. Ia akan membawa kepada rasa pening dan berpeluh. Perkara sebegini agak lazim berlaku dalam kalangan pesakit diabetes apabila bacaan kadar gula menurun secara tiba-tiba.

3. Ubat sakit jantung

Ubat-ubatan berkenaan jantung boleh menyebabkan kontraksi otot jantung yang tidak normal. Ini menyebabkan jantung berdenyut dengan cepat atau sangat lambat. Namun sekiranya anda rasa pening dan berpeluh secara berulang kali dan tanpa henti, gejala tersebut boleh dikaitkan dengan penyakit jantung. Kadang-kadang, sensasi ringan kepala juga mengindikasi kepada serangan sakit jantung.

4. Anemia

Ketika seseorang memiliki kadar hemoglobin dalam darah yang sangat rendah, ia didiagnos sebagai anemia. Anemia terjadi ketika jumlah sel-sel darah merah menurun. Oleh kerana hemoglobin membawa oksigen dalam darah, kekurangan hemoglobin mengurangkan jumlah oksigen dalam darah yang menyebabkan ringan kepala.

5. Alkohol

Alkohol adalah salah satu penyebab rasa pening dan ringan kepala yang paling umum. Ketika seseorang mengambil minuman beralkohol, kadar gula dalam darahnya turun kepada tahap yang sangat rendah secara tiba-tiba. Keadaan itu jugalah yang membuatkan seseorang itu mabuk. Dalam kondisi ini gejala seperti rasa pening dan sakit kepala, serta terhuyung-hayang akan berlaku. Jika anda mengalami ringan kepala selama lebih dari 2 hari, maka segeralah berjumpa dengan doktor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.