Bekas pemimpin MIC didakwa gubah wang haram lebih RM6 juta

Bekas pemimpin MIC didakwa gubah wang haram lebih RM6 juta

S Balakrishnan didakwa melakukan pengeluaran wang RM6.012 juta daripada akaun bank syarikat Sinniyah & Sons Sdn Bhd yang merupakan hasil aktiviti haram.

Free Malaysia Today
S Balakrishnan turut didakwa membuat tuntutan palsu hampir RM13 juta berhubung Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka pada 2013. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Bekas Naib Presiden MIC Tan Sri S Balakrishnan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas 2 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM6.012 juta antara 2012 dan 2013.

Bagi pertuduhan pertama, Balakrishnan, 64 yang mewakili syarikat Sinniyah & Sons Sdn Bhd didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi pengeluaran wang berjumlah RM6.012 juta daripada akaun Bank Affin Berhad milik syarikat itu, yang mana jumlah itu merupakan hasil aktiviti haram.

Untuk pertuduhan ke-2, dia selaku pengarah syarikat Sinniyah & Sons Sdn Bhd didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi pengeluaran berjumlah yang sama menerusi akaun bank yang sama, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bank Affin Berhad, Jalan Kebun Teh, antara 12 Jun 2012 dan 5 September 2013, menurut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Balakrishnan yang merupakan naib presiden MIC bagi tempoh 2013 hingga 2015 boleh didenda sehingga RM5 juta atau dipenjarakan sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk V Manukaran dan N Yuhendra.

Pada prosiding hari ini, Hakim Jailani Rahman turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes bagi dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ini berikutan tertuduh turut berdepan perbicaraan pada 3 September ini mengenai satu kes mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai hampir RM13 juta berhubung Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka pada 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.