12 ahli politik pembangkang Uganda didakwa derhaka kerana baling batu

12 ahli politik pembangkang Uganda didakwa derhaka kerana baling batu

Mereka lantang mengkritik Presiden Yoweri Museveni mencetuskan demonstrasi anti-kerajaan selama 2 hari di Kampala dan bahagian lain Uganda minggu lepas.

Free Malaysia Today
Kerajaan Uganda menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘mengarut’. (Gambar Reuters)
KAMPALA:
Hakim Uganda membenarkan 12 ahli politik pembangkang diikat jamin, termasuk penulis terkenal Robert Kyagulanyi, yang berdepan pertuduhan menderhaka berikutan peranan mereka dalam tindakan membaling batu ke arah konvoi Presiden Yoweri Museveni bulan ini.

Kyagulanyi, yang hanya menduduki kerusi Parlimen tahun lepas, didakwa tidak mampu berdiri selepas dibelasah ketika dalam tahanan, kata peguamnya yang memetik kenyataan saudara-mara yang melawatnya.

Kerajaan Uganda menyifatkan dakwaan itu sebagai “mengarut.”

Penahanan Kyagulanyi dan ahli politik lain yang lantang mengkritik Museveni mencetuskan demonstrasi anti-kerajaan selama 2 hari di ibu negeri Kampala dan bahagian lain Uganda minggu lepas.

Semua 12 ahli politik menafikan dakwaan terhadap mereka.

“12 pemohon terbabit dibenarkan ikat jamin. saya akan menetapkan syarat selanjutnya bagi ikat jamin mereka kemudian,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Mubiru dalam satu prosiding yang disiarkan menerusi televisyen.

Ikat jamin sebanyak 5 juta syiling Uganda ditetapkan bagi setiap pemohon, dan perlu dibayar jika mereka gagal hadir sekali lagi ke mahkamah.

Mubiru memerintahkan mereka untuk hadir semula di mahkamah lebih rendah pada 30 Ogos untuk sebutan kes, namun menolak permohonan pihak pendakwaan yang mahu pasport semua tertuduh dirampas.

Kyagulanyi, seorang pemuzik terkenal, menggubah beberapa lagu yang mengkritik kerajaan Museveni dan berjaya memenangi hati sebahagian besar generasi muda.

Penunjuk perasaan dan penyokong pembangkang menuduh Museveni, yang berkuasa sejak 1986, menyekat perbezaan pendapat melalui intimidasi, tindakan membelasah dan penahanan, yang disangkal oleh kerajaan beliau.

Oktober lepas, ketika Parlimen membahaskan sama ada memansuhkan had umur perlembagaan yang akan menghalang Museveni – kini berusia 74 tahun – daripada bertanding semula pada 2021, pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan bertempur di jalanan yang menyaksikan 2 penunjuk perasaan maut.

Had umur presiden dimansuhkan selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.