Suhakam panggil bekas ketua polis negara ke inkuiri aktivis hilang

Suhakam panggil bekas ketua polis negara ke inkuiri aktivis hilang

Ini adalah kali ke-2 Khalid Abu Bakar dipanggil Suhakam untuk memberi keterangan dalam siasatan awam kehilangan orang.

Free Malaysia Today
Khalid Abu Bakar dipanggil Suhakam pada Oktober 2017 untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sekali lagi dipanggil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memberi keterangan dalam siasatan awam kehilangan orang, kali ini berkaitan aktivis Perlis, Amri Che Mat.

“Esok, kita akan memanggil Khalid untuk diambil keterangan, sesi esok akan bermula 9 pagi,” kata Pengerusi Panel Siasatan Awam, Datuk Mah Weng Kwai.

Oktober lalu, Khalid ketika memberi keterangan berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh berkata, beliau tidak ingat fakta kes kehilangan Koh.

Beliau sebaliknya meminta Suhakam dan peguam keluarga mengajukan soalan itu kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat yang mengendalikan kes berkenaan.

Amri yang juga pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016. Isterinya dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan meminta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi kira-kira 550m dari rumahmnya di Bukit Chabang, Perlis.

Koh, 62, pula yang dalam perjalanan ke rumah rakannya, diculik sekumpulan lelaki bertopeng menggunakan SUV hitam yang menghalang keretanya kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, pada 13 Februari 2017.

Rakaman kamera litar tertutup dari sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam insiden siang hari itu.

Selain Amri dan Koh, siasatan awam itu turut menyiasat kehilangan Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth yang kali terakhir dilihat pada 30 November 2016, seminggu selepas kehilangan Amri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.