Mat Sabu: Pengiring Hishammuddin diarah lapor diri di ATM

Mat Sabu: Pengiring Hishammuddin diarah lapor diri di ATM

Menteri pertahanan itu berkata ATM dalam proses menyiasat perkara tersebut.

Free Malaysia Today
Mat Sabu sebelum ini mengarahkan kementeriannya menyiasat dakwaan terdapat pegawai masih berkhidmat kepada Hishammuddin Hussein.
KUALA LUMPUR:
Tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikatakan berkhidmat untuk bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein diarahkan untuk kembali bertugas ke kementerian itu.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata ATM juga dalam proses menyiasat perkara tersebut.

“Mereka sedang meneliti dan keputusan akan dibuat secepat mungkin.

“Ketiga-tiga mereka diperintahkan untuk melaporkan diri di ATM,” katanya ketika ditemui pemberita di Persidangan Keselamatan Asean hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai status siasatan berhubung kes berkenaan.

ATM dilaporkan menamatkan khidmat pegawai pengiring kepada Hishammuddin selepas pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan, ATM juga mengesahkan dakwaan 2 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando tentera masih bertugas sebagai pengiring kepada Hishammuddin.

Ia berlaku selepas Mohamad mengarahkan kementeriannya menyiasat dakwaan bahawa pegawai terbabit masih berkhidmat dengan bekas menteri itu.

Beliau juga memberi amaran tindakan akan diambil sekiranya didapati ia melanggar peraturan sedia ada.

Malaysiakini melaporkan ketiga-tiga anggota itu masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

Bagaimanapun, Hishammuddin mendakwa beliau menawarkan jawatan pengiring kepada mereka dengan syarat mereka meninggalkan perkhidmatan ATM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.