
Bekas perdana menteri berkata, beberapa pemimpin PH mendakwa beliau dan MIC menipu kerana menyatakan hanya 3,853 orang India tidak memiliki kewarganegaraan di Malaysia.
Katanya, pemimpin PH menggunakan dakwaan lebih 300,000 kes orang India tiada kerakyatan di Malaysia dalam demonstrasi serta ceramah untuk mencetuskan kemarahan kaum India terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kini, ramai pemimpin-pemimpin PH yang memainkan isu ini telah dilantik menjadi menteri dalam kerajaan baru.
“Dengan pendedahan kerajaan PH mereka sendiri tentang jumlah kes yang benar, adakah pemimpin-pemimpin PH ini akan meminta maaf kerana ‘tersalah kira’ 2 titik perpuluhan?” soalnya dalam catatan Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan di Dewan Negara hari ini pihaknya menerima 3,853 permohonan kerakyatan daripada orang India di negara ini sehingga 30 Mei lalu.
“Sebelum pilihan raya umum, angka 300,000 dinyatakan ahli Parlimen pembangkang (PH) pada masa itu. ‘Of course’ angka itu tidak tepat serta tidak benar dan hari ini saya berada dalam Dewan Negara menyatakan jumlah sebenar status ‘undocumented’ masyarakat India yang ada di negara kita.” katanya menjawab soalan tambahan T Mohan.
Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan BN terdahulu berjaya menyelesaikan 1,638 daripada 3,853 kes itu.
“Saya sentiasa memberi keutamaan untuk bertindak adil terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Kita tidak pernah mengabaikan hak-hak mereka jika mereka benar-benar layak mendapat kewarganegaraan.”
Dakwaan lebih 300,000 orang India tidak mempunyai dokumen pengenalan diri timbul sejak 2012, sebelum pilihan raya umum ke-13.
Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dan menyifatkan dakwaan itu bermotif politik.
Terdahulu, Lawyers for Liberty (LFL) yang terkejut dengan kenyataan Azis berhubung jumlah kes itu menyifatkan tidak logik untuk menyatakan jumlah orang India tanpa kewarganegaraan berdasarkan jumlah permohonan diterima kerajaan.
Penasihat LFL, N Surendran menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah segera mengenal pasti mereka yang layak mendapat kad pengenalan biru.
“Azis hanya menolak angka 300,000 orang India tanpa kerakyatan yang saya mula katakan pada 2012. Angka itu adalah anggaran boleh dipercayai berdasarkan maklum balas daripada NGO, aktivis dan kajian populasi,” katanya dalam satu kenyataan.