KDN pandang serius bantahan tahanan Sosma

KDN pandang serius bantahan tahanan Sosma

KSU Alwi Ibrahim berkata setiap pandangan akan dipertimbangkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang Berkaitan Keselamatan.

PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil perhatian serius mengenai bantahan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma, kata Ketua Setiausaha Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mengulas mogok lapar tahanan Sosma, beliau berkata setiap pandangan akan dipertimbangkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang Berkaitan Keselamatan yang ditubuhkan bagi meneliti semula undang-undang berkaitan keselamatan.

“Jawatankuasa khas ini telah bersidang 2 kali dan seterusnya akan bersidang pada penghujung Ogos 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu dianggotai pelbagai jabatan, agensi dan pihak berkaitan seperti polis, Jabatan Peguam Negara, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Badan Peguam Malaysia, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

Menurut laporan media seramai 118 tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh mengadakan mogok lapar sejak Jumaat lepas, manakala keluarga mereka membuat perhimpunan di hadapan penjara itu kerana tidak berpuas hati akta itu masih belum dimansuhkan selaras dengan manifesto kerajaan.

Hari ini,mereka dilaporkan bersetuju menghentikan mogok lapar tersebut selepas wakil tahanan tersebut mengadakan pertemuan lebih 2 jam dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Mengenai mogok lapar itu, Alwi berkata kepentingan kesihatan dan kebajikan tahanan terlibat tetap dijaga dan pemantauan berterusan dilaksanakan dengan memastikan pegawai perubatan penjara sentiasa bersiap sedia.

“Makanan juga tetap disediakan mengikut jadual dan perjumpaan dengan keluarga serta peguam turut dibenarkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.