Ratusan tunjuk perasaan ketika tahanan Sosma mogok lapar

Ratusan tunjuk perasaan ketika tahanan Sosma mogok lapar

Mereka menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang kontroversi itu.

Free Malaysia Today
Keluarga tahanan Sosma di luar Penjara Sungai Buloh hari ini.
SUNGAI BULOH:
Kira-kira 200 ahli keluarga tahanan Sosma menunjuk perasaan di luar Penjara Sungai Buloh hari ini menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang kontroversi itu, ketika tahanan meneruskan mogok lapar.

Mereka ditemui Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa yang berjanji akan mengangkat perkara itu ke kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tahanan-tahanan berkenaan, yang antaranya ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan jenayah terancang, mogok lapar sejak semalam.

Salah seorang penunjuk perasaan, Umathevi berkata, suaminya dan iparnya ditahan selama lebih 1 tahun.

“Satu hari polis ambil mereka, katanya untuk tujuan siasatan. Sehingga hari ini mereka tidak pun dituduh. Tuduh mereka di mahkamah jika ada bukti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur Darussalam Budin berkata bantuan perubatan akan diberikan kepada tahanan yang mogok lapar, tetapi menggesa mereka menamatkan mogok itu.

“Saya nasihatkan mereka supaya makan, tetpai terpulang kepada mereka,” katanya.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, antara undang-undang yang Pakatan Harapan janji akan dimansuhkan.

Antara individu yang pernah ditahan bawah undang-undang itu ialah pengkritik 1MDB, Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, dan bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.