Pasukan khas giat kesan projektor radiografi hilang, kata polis

Pasukan khas giat kesan projektor radiografi hilang, kata polis

Ketua polis Selangor berkata, pihaknya belum mendapat petunjuk baru mengenai kehilangan alat itu atau jika ia dibawa keluar dari Selangor.

Free Malaysia Today
Mazlan Mansor berkata, pasukan yang bertugas 24 jam itu digerakkan sejurus pihaknya mendapat laporan berhubung kehilangan projektor tersebut. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Polis Selangor dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menggerakkan sebuah pasukan khas bagi mengesan satu unit projektor radiografi “Sentinel Delta 880” yang dilaporkan hilang pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan yang bertugas 24 jam itu digerakkan sejurus pihaknya mendapat laporan berhubung kehilangan projektor tersebut.

“Setakat ini, polis belum mendapat sebarang petunjuk baru mengenai kehilangan unit tersebut.

“Kita juga belum menerima sebarang maklumat sama ada alat itu telah dibawa keluar dari Selangor,” katanya selepas menghadiri program Korban Perdana di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan alat tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau balai polis berdekatan.

Pada 10 Ogos lalu, unit projektor radiografi itu dilaporkan hilang ketika dibawa pulang 2 juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara 2 hingga 3 pagi.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna pihak lain, termasuk pengganas untuk membuat bom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.