Lelaki maut akibat penyakit anjing gila di Sarawak

Lelaki maut akibat penyakit anjing gila di Sarawak

Kementerian Kesihatan berkata, lelaki itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak Khamis lalu, selepas mengalami simptom rabies ketika mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos.

KUCHING:
Seorang lelaki berusia 44 tahun dari Jalan Matang yang positif rabies encephalitis atau penyakit anjing gila meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira 10 pagi semalam.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan berkata, lelaki itu dimasukkan ke HUS pada 16 Ogos lalu, selepas mengalami simptom rabies ketika mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pesakit tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang menggigit isterinya pada 13 Januari lepas.

“Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan. Dilaporkan anjing tersebut kemudiannya mati dan pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, isteri mangsa kini dalam keadaan sihat dan sudah melengkapkan jadual vaksinasi antirabies sebanyak 4 dos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.