
Zuraida berkata Malaysia jauh ketinggalan di tempat 102 daripada 132 negara dalam senarai jumlah pemimpin wanita dalam bidang politik.
“Kita tidak cukup wanita untuk membuat keputusan dan bersuara dalam bidang politik,” katanya semasa berucap di pelancaran kempen Girl2Leader anjuran gerakan antarabangsa, Women Political Global Forum (WPL).
Beliau berkata “kerajaan baharu mahu menular polisi” untuk memastikan penyertaan pemimpin wanita yang mahu berkhidmat kepada rakyat.
Kempen Girl2Leader merupakan inisiatif untuk memaparkan bakat pemimpin wanita muda sebagai pemimpin masa depan. Ia dilancarkan di peringkat antarabangsa pada 2017 dengan matlamat untuk membawa lebih ramai wanita muda terlibat dalam politik dan peranan kepimpinan.
WPL terdiri daripada para wakil rakyat di peringkat nasional dari pelbagai negara, sebagai platform perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik antara pemimpin wanita dalam bidang politik.
Kempen Girl2Leader Malaysia diaspirasikan untuk memupuk semangat kesukarelawan, kemahiran kepimpinan dan mewujudkan platform awal kepada rangkaian politik wanita muda. Ia mahu menarik wanita muda antara 16-25 untuk bergerak aktif dalam politik.
Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad berkata anak-anak gadis di Eropah didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan seawal usia 11 tahun bagi mempersiapkan mereka menjadi pemimpin masa depan.
“Ada diantara orang dewasa yang khuatir apabila anak-anak gadis Malaysia didedahkan dengan politik, mereka akan terlibat dengan politik kepartian yang sering terpalit dengan persepsi negatif.
“Namun begitu saya ingin menyatakan di sini, sebagai sebuah negara demokrasi, politik merupakan penggerak kepada dasar dan polisi yang menentukan hala tuju negara,” katanya dalam ucapan perasmian kempen itu.
Masdiana berkata walaupun terdapat banyak pertubuhan atau persatuan kanak-kanak di Malaysia, ia dikawal dengan begitu ketat sehinggakan anak-anak itu hanya menjadi pengikut sahaja.
“Kita seharusnya meluaskan pandangan dan mengasah kreativiti mereka untuk mempelajari erti kepimpinan,” katanya.