
Selepas kerajaan baru dibentuk, sebanyak 28 kabinet diwujudkan dibawah Dr Mahathir, selain menstruktur semula barisan menteri dan timbalan menteri bagi hal-ehwal yang berkait dengan Islam dan pentadbiran agama.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi mengurus hal ehwal agama Islam manakala Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh diberi tanggungjawab membantunya sebagai timbalan menteri.
Selama 100 hari pentadbiran, walaupun isu berkait kementerian agama tidak termasuk dalam 10 janji 100 hari PH sebelum pilihan raya umum lalu, namun kementerian itu mencatat nama antara kementerian paling kontroversi melibatkan beberapa isu yang melanda negara ketika ini.
Mana tidaknya kementerian yang diterajui Mujahid menjadi tumpuan apabila ia diselubungi isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sewaktu kerajaan PH didakwa mesra golongan itu kerana gagal bertindak tegas apabila kumpulan itu secara terang-terangan menuntut hak kebebasan mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan agama dan budaya timur yang diamalkan di Malaysia.
Mujahid turut dilempar dengan pelbagai tuduhan kononnya Ahli Parlimen Parit Buntar itu seorang “liberal” apabila beliau lebih cenderung kepada pendekatan bersifat mendidik bukan menghukum dalam menghadapi budaya songsang yang cuba disebarkan di Malaysia.
Ini termasuklah tindakan Mujahid mempertahankan bekas pegawai menteri belia dan sukan, Numan Afifi dan pertemuan beliau dengan aktivis transgender, Nisha Ayub.
Sedang isu LGBT hangat seluruh negara, Mujahid tampil membuat permohonan maaf atas kekeliruan yang berlaku, sekali gus mengingatkan semua pihak supaya berhenti menuduh kerajaan PH mesra golongan LGBT.
Katanya, undang-undang negara jelas menetapkan aktiviti songsang itu dilarang diamalkan di Malaysia.
“Kerajaan sentiasa mengambil maklum tentang penularan budaya LBGT yang semakin membimbangkan hari ini,” kata beliau.
“Saya ingin jelaskan berdasarkan undang-undang…,jangan putar cakap saya, ia bermaksud hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkannya di Malaysia. Jangan di mimbar khutbah nanti kata kerajaan PH mesra LGBT,” katanya.
Mujahid berkata, walaupun undang-undang melarang keras budaya LGBT dilarang keras, namun mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebagai rakyat Malaysia, golangan itu tidak boleh ditindas atau dibuli.
“Kita ada statistik menunjukkan 80% golongan ‘makyah’ terlibat dalam industri seks. Kalau kita mendiskriminasi mereka di tempat kerja, maka mereka akan terus berada dalam industri ini sedangkan kerajaan PH berhasrat mengeluarkan mereka dari industri itu,” katanya.
Selain isu LGBT menghantui kementerian agama itu, ia juga dirundung kontroversi berikutan beberapa langkah tranformasi yang dijalankan, termasuk mengenakan tindakan ke atas institusi agama yang dilihat meyimpang dari tujuan asal penubuhannya.
Kerajaan PH sekat dana Iksim
Kerajaan PH menyekat semua dana dan aktiviti Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) selepas audit mendapati wujud unsur penyalahgunaan kuasa dan pengurusan dana yang tidak telus.
Mujahid berkata, hanya RM200,000 daripada RM7.6 juta yang diberikan kepada Iksim direkodkan penggunaannya dan tiada bukti di mana ia dibelanjakan, untuk apa yang dibelanjakan, dan berapa jumlah dibelanjakan.
Bagaimanapun Iksim mendakwa audit yang dibuat Putrajaya itu separuh masak dan fitnah kepada badan pemikir berkenaan.
“Saya tidak akan bercakap kalau benda itu tiada bukti. Orang kalau kita dah londehkan seluar dia, manalah dia nak mengaku?
“Serahkan pada pihak berkuasa (untuk siasat)…saya bertanggungjawab terhadap apa yang saya kata,” kata Mujahid.
YAPEIM juga akan disiasat
Mujahid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi di bawah kementerian itu yang dikesan melakukan penyelewengan dalam pentadbirannya.
Ini termasuklah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang menguruskan puluhan cawangan ar-Rahnu yang menawarkan skim pajakan emas secara Islam di seluruh negara.
Pada 2015, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendakwa berlaku penyalahgunaan dan penyelewengan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran yang berlaku dalam YAPEIM.
Kerajaan jamin tidak bubar Jakim
Dalam pada itu, kerajaan PH berjanji dan memberi jaminan tidak akan membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebaliknya akan menambah baik institusi tersebut.
Mujahid berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan para ulama dan cendekiawan Islam, termasuk pentadbir agama Islam untuk mendapatkan maklum balas mengenai hal ehwal Islam di negara ini termasuk memperkasakan kedudukan Jakim.
“Saya bagi jaminan kepada rakyat bahawa pentadbiran Islam akan betul-betul diberikan input baik melalui satu badan yang bebas supaya tidak dilihat mempunyai kepentingan politik,” katanya.
Tolak cadangan tutup sekolah tahfiz
Sebaik sahaja kerajaan PH menawan Putrajaya, timbul desakan supaya sekolah tahfiz ditutup kerana tidak menjamin masa depan pelajarnya
Cadangan Tan Sri Zainuddin Maidin itu ditolak Mujahid apabila meminta bekas menteri penerangan itu membuat “homework” dan melihat sumbangan para huffaz terlebih dahulu sebelum membuat cadangan sedemikian.
“Ada para hafiz yang menjadi imam dan pada waktu yang sama berkarier. Darul Quran Jakim sebenarnya bertujuan melahirkan orang yang bukan sahaja huffaz tapi juga profesional,” katanya sambil memaklumkan kerajaan akan menambah baik sistem tahfiz di negara ini bukan menutupnya.
Sekat tajaan ibadah haji guna dana 1MDB
Di bawah kerajaan baru, Program Khas Haji tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak diteruskan mulai tahun ini.
Mujahid berkata, ini kerana sumber dana yayasan ini mempunyai kaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan bersetuju membenarkan 1,200 calon haji tajaan Yayasan 1MDB yang telah menerima surat tawaran pergi ke Makkah tahun ini dengan syarat mereka menggunakan dana sendiri.
Kerajaan haramkan kahwin bawah umur
Kerajaan mengharamkan terus perkahwinan kanak-kanak bawah umur bagi menjaga kepentingan awam yang lebih besar.
Mujahid berkata, langkah itu juga bagi melindungi kanak-kanak dari terlibat dalam kes eksploitasi apabila berkahwin di bawah umur.
Pendirian kerajaan itu tidak disenangani pihak tertentu yang mendakwa ia bertentangan dengan Islam.
RUU355 Hadi tidak holistik
Kerajaan PH akan mengambil pendekatan menyeluruh bagi memperkasa mahkamah syariah.
Mujahid berkata usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 untuk meningkatkan hukuman tidak sesuai dalam kerangka pemerkasaan Mahkamah Syariah dan tidak holistik (bersifat menyeluruh).
Menurutnya, sebelum melihat isu meningkatkan hukuman syariah, pihak kerajaan perlu melihat isu kecekapan hakim dan pendakwa raya Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
“Kami akan cuba terapkan, kami lebih lihat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah secara holistik,” katanya, sambil memaklumkan kerajaan akan mengkaji cadangan untuk memperbaiki bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mahu tutup pusat judi di Genting Highland
Mujahid secara peribadi berkata pusat judi termasuk di Genting Highland tidak perlu dibenarkan beroperasi.
Katanya, ini kerana aktiviti itu ditentang oleh semua agama, bukan sahaja agama Islam.
“Kalau bertanya kepada saya, kalau boleh (judi) Genting Highland ke, semua tak ada. Sebab ini akan jadi masalah, selagi ada permintaan selagi itu ada tawaran,” katanya.
Larangan memanggil orang bukan Islam kafir harbi dan zimmi
Mujahid mengingatkan segelintir golongan agama supaya tidak lagi mengklasifikasikan warganegara bukan Islam sebagai kafir harbi dan zimmi kerana sikap itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak semua kaum tanpa mengira agama dan budaya.
Katanya, istilah tersebut tidak sesuai diguna pakai kerana Malaysia bukanlah negara Islam sepenuhnya.
“Tidak ada dah semua itu, yang ada hanyalah konsep warganegara yang mesti dilindungi setiap haknya meskipun berbeza agama,” katanya.
Perdana menteri minta tambahan masa
Semalam genap 100 hari pemerintahan kerajaan PH. Terbaru, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan menunaikan janji 100 harinya kerana terdapat banyak kekangan terpaksa dihadapi hasil peninggalan kerajaan BN.
“Janji manifesto dibuat berdasarkan apa yang kita tahu tentang kerajaan sebelum ini, tetapi sekarang kami dapati keadaan negara lebih buruk, negara hutang banyak,” katanya.