Transgender lapor ancaman bunuh kepada polis

Transgender lapor ancaman bunuh kepada polis

Aktivis Elisha Nor Krishnan berkata komuniti itu menjadi sasaran selepas kontroversi pameran gambar.

KUALA LUMPUR:
Aktivis trangender Elisha Nor Krishnan hari ini membuat laporan polis mendakwa komuniti itu menjadi sasaran kata-kata kesat dan ancaman bunuh susulan kontroversi pameran gambar.

Elisha yang mengetuai Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Malaysia (PKKUM) berkata transgender mahu keselamatan mereka terjaga.

“Kami berusaha untuk menyumbang kepada Malaysia dan kami tidak mahu diserang setiap kali keluar rumah.

“Laporan polis ini ialah hak kami sebagai rakyat terhadap kritikan dan komen kebencian,” katanya kepada pemberita.

Kontroversi tercetus selepas gambar aktivitis pro-LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) di satu pameran gambar di Pulau Pinang sempena Festival George Town awal bulan ini diturunkan.

Gambar aktivis transgender Nisha Ayub dan aktivis pro-LGBT Pang Khee Teik diturunkan atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi melindungi komuniti LGBT daripada gangguan. Nisha bersetuju gambarnya diturunkan.

Elisha berkata selepas kontroversi itu komuniti transgender menerima banyak komen-komen negatif dan kebencian di media sosial.

Beberapa pengguna media sosial berkata mereka akan bunuh transgender yang mereka lihat, katanya.

“Mufti bersuara terhadap kami apabila mengatakan memperjuangkan hak LGBT sama dengan memperjuangkan hak haiwan, kata komuniti LGBT menentang undang-undang Tuhan,” kata Elisha, merujuk kepada laporan memetik Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Beliau mengeluh ketiadaan tindakan daripada kerajaan untuk melindungi hak mereka.

“Menteri kata orang ramai tidak patut mendiskriminasikan LGBT di tempat kerja.

“Tetapi tiada garis panduan daripada Kementerian Sumber Manusia yang memastikan hak sama untuk kami,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.