Pemilik gerai burger dirempuh bas RapidKL nafi serang pemandu

Pemilik gerai burger dirempuh bas RapidKL nafi serang pemandu

Muhammad Azri Mohd Arip menafikan dakwaan orang ramai mengatakan mereka membelasah pemandu itu separuh mati dan mengejarnya menggunakan pedang samurai.

Free Malaysia Today
Muhammad Azri Mohd Arip berkata hanya mereka berempat mengejar pemandu terbabit, dan bukannya ‘sekampung’ seperti yang didakwa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemilik gerai burger yang dirempuh bas RapidKL dalam insiden bas terbabit melanggar beberapa kenderaan ketika ia memecut di Jalan Ampang, selepas merempuh gerainya di Keramat menafikan dakwaan dia menyerang pemandu tersebut.

“Memang kami berempat kejar, tapi kami tak pukul dia, malah kami tidak bawa apa-apa senjata tajam atau kayu,” kata Muhammad Azri Mohd Arip, 22, memetik laporan Berita Harian.

Menceritakan detik insiden itu, Azri berkata ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja sebelum mendengar dentuman kuat di luar flat dihuninya di Keramat AU2.

“Saya bergegas keluar dan mendapati Proton Iswara tersadai di tepi gerai burger akibat dirempuh sebuah bas.

“Keadaan meja bertaburan, manakala ibu saya yang sedang memegang anak saudara berusia 2 bulan tersepit di antara gerai dan pembahagi jalan,” katanya sambil menambah pemandu Iswara terbabit sempat menaiki bas sewaktu pemandunya menghalau penumpang turun ketika kejadian.

Dia bersama 3 lagi individu kemudiannya mengejar bas tersebut menggunakan 2 motosikal kerana pemandunya meninggalkan lokasi kejadian.

“Ketika kami mengejarnya, dia sempat mengeluarkan tangan melalui tingkap dan menunjukkan isyarat mencabar kami supaya terus mengejarnya.

“Sebaik tiba di lokasi di mana dia merempuh beberapa kenderaan, saya dan 3 lagi rakan meninggalkan motosikal di belakang bas itu sebelum berlari mengejarnya dan sebaik tiba, dia sudah dipukul beberapa orang awam,” katanya.

Dia juga menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan mereka membelasah pemandu itu separuh mati dan mengejarnya menggunakan pedang samurai.

Semalam, sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan cedera dalam kejadian jam 8.00 malam di depan Bangunan Risda, Jalan Ampang.

Hari ini, pemandu tersebut ditahan polis di Hospital Ampang bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata pemandu itu yang cedera di bahagian kepala masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Ujian saringan awal air kencing pemandu itu turut dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.