‘Mat Rempit’ boleh jadi ketua bahagian parti Ibrahim Ali

‘Mat Rempit’ boleh jadi ketua bahagian parti Ibrahim Ali

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia ditubuhkan atas desakan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan suasana negara hari ini.

Free Malaysia Today
Ibrahim (tengah) bersama Khalid Yunus (baju biru) di pengumuman penubuhan Putra.
KUALA LUMPUR:
Veteran politik, Datuk Ibrahim Ali secara rasmi mengumumkan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra, dengan penekanan kepada golongan marhaen.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di tapak bersejarah, Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru hari ini, Ibrahim terdorong untuk mewujudkan platform berasaskan kelas bawahan dan pertengahan atas desakan pelbagai pihak “yang tidak berpuas hati dengan suasana negara hari ini”.

“Kita memberi penekanan kepada kepimpinan golongan marhaen di peringkat akar umbi,” katanya diapit bekas pengerusi Mara, Tan Sri Khalid Yunus dan 18 penaja parti.

“Ertinya, mungkin ketua bahagian terdiri daripada pengusaha warung, nelayan dan petani, penarik beca, ‘mat rempit’ sekali pun boleh jadi ketua bahagian.”

Berlambangkan tanjak merah berlatarkan lapangan kuning, Ibrahim berkata keanggotaan Putra terbuka kepada orang Melayu-Islam dan Bumiputera.

Putra tidak menyasarkan jumlah keanggotaan yang tinggi tetapi beliau mahu setiap DUN mempunyai ahli tidak melebihi 500 orang.

Ibrahim berkata tujuan Putra adalah membela golongan marhaen yang berada dalam keadaan cukup bercelaru.

“Saya bersama Khalid beberapa bulan lalu diundang banyak pihak, sama ada dari tokoh parti tertentu, tokoh akademi, kumpulan NGO, golongan anak muda lebih-lebih lagi dan mereka meluahkan berbagai perasaan mengenai suasana yang berlaku dalam negara hari ini.”

Ibrahim pernah menjadi wakil rakyat Umno dan Semangat 46, dan pernah memegang jawatan presiden Perkasa. Khalid pula pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.