
Ibrahim yang mengetuai kumpulan pendesak Melayu, Perkasa, akan berganding bahu dengan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno dan pengerusi Mara, Datuk Khalid Yunus.
Beliau dijangka mengumumkan penubuhan parti baru itu pada sidang media petang ini.
Ibrahim merupakan bekas Ahli Parimen Pasir Mas yang dimenanginya dengan bantuan PAS pada 2008. Beliau kemudian menubuhkan platform sendiri, Perkasa dengan tujuan menyuarakan pandangan terhadap apa yang dilihatnya sebagai ancaman kepada kuasa politik orang Melayu berikutan kekalahan Umno di beberapa buah negeri pada tahun itu.
Beliau menolak keras gabungan politik PH, selain menjauhkan diri dari Umno berikutan dakwaan yang mengaitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib razak dengan skandal kewangan 1MDB.
Ibrahim yang pernah menganggotai Kabinet Dr Mahathir Mohamad pada penghujung 1990-an dikenali dengan panggilan “katak” kerana kecenderungan beliau bertukar parti politik.
Beliau meninggalkan Umno untuk menyertai parti serpihan Semangat 46 sebelum kembali kepada Umno kemudiannya. Ibrahim meninggalkan Umno selepas itu untuk bertanding sebagai calon bebas.
Menjelang pilihan raya umum ke-14 Mei lepas, Dr Mahathir menegurnya kerana merancang meletakkan calon yang disokong oleh Perkasa.
Ibrahim sendiri kalah teruk dalam pilihan raya lepas apabila beliau hilang deposit selepas mendapat hanya 5,800 undi berbanding calon PAS, Ahmad Fadli Shaari yang mendapat 28,080 undi dan calon BN Nor Azmawi Ab Rahman 15,005 undi di kerusi Parlimen Pasir Mas.