
Bercakap mewakili sebuah pertubuhan bernama ENGAGE, Thomas Fann berkata, langkah kerajaan mengekalkan sebuah badan “yang tidak dipilih dan tidak mengikut perlembagaan” dengan “bidang kuasa yang sangat luas” itu tidak boleh diterima sama sekali.
ENGAGE yang ditubuhkan pada 2013 menakrifkan dirinya sebagai sebuah “pertubuhan bukan kerajaan yang komited kepada objektif pembinaan negara melalui penglibatan secara postif, proaktif dan berguna”.
Semalam, pada majlis pelancaran sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak desas-desus bahawa majlis itu akan dibubarkan hari ini, bertepatan dengan hari ke 100 Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan setelah memenangi pilihan raya umum Mei lalu.
“CEP tidak akan dibubarkan,” kata Dr Mahathir. “Saya perlukan khidmat mereka sehingga semua masalah diselesaikan.”
CEP merupakan lantikan pentadbiran dan dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. Ia tidak bertanggungjawab kepada Parlimen.
Fann berkata, Kabinet penuh telah dibentuk dan Parlimen pula sedang melantik pelbagai jawatankuasa terpilih. Justeru ia perlu dibenarkan berfungsi tanpa kelihatan dikawal oleh CEP.
“Jika perdana menteri masih memerlukan nasihat daripada anggota majlis itu, beliau boleh mendapatkannya atas kapasiti peribadi,” ambah beliau. “CEP mesti dibubarkan serta-merta.”
Veteran DAP, Dr Boo Cheng Hau membuat gesaan sama dan berkata, sudah terdapat jumlah menteri dan pakar yang mencukupi di Jabatan Perdana Menteri untuk memberi nasihat kepada Dr Mahathir.
Beliau berkata, PH dalam janji pilihan rayanya menyebut tentang sebuah kerajaan yang akan akur kepada kelulusan Parlimen dalam membuat keputusan eksekutif.
Boo berkata, Kabinet adalah badan yang sepatutnya menasihati perdana menteri.
“CEP tidak perlu dan tidak bertanggungjawab kepada pembayar cukai maupun Parlimen,” katanya. “Ia berjalan di luar cakupan perlembagaan persekutuan. Ia tidak perlu.”
Pemangku pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata, Australia dan beberapa negara lain mempunyai badan penasihat seperti CEP, tetapi ia diwujudkan secara rasmi.
“Satu sebab kenapa khalayak kurang senang dengan CEP ialah kerana ia baru dan dilihat mengganggu berikutan persepsi ia memiliki kuasa yang tidak sepatutnya ia miliki,” katanya, dengan memberi contoh bagaimana majlis itu dilihat mempunyai kuasa untuk melantik hakim.
Jun lepas, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan bekas presiden Majlis Peguam menempelak CEF kerana memanggil dan mengarahkan 2 hakim tertinggi negara supaya meletak jawatan.
Menurut mereka, majlis tersebut, yang diwujudkan untuk menasihati kerajaan dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan, bertindak melampaui batas penubuhannya.