
Sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan cedera dalam kejadian 8 malam tadi di depan Bangunan Risda, Jalan Ampang.
Beberapa lelaki bermotosikal bertindak mengejar bas terbabit, selepas ia melanggar sebuah kereta yang kemudiannya merempuh sebuah gerai burger berhampiran Keramat.
Pemilik gerai itu, Azri Arip berkata, ibunya yang sedang memangku bayi berusia 2 bulan turut cedera dalam kejadian berkenaan.
Saksi memberitahu FMT pemandu bas itu panik dan cuba melarikan diri dari tempat kejadian, sebelum ia memecut dalam trafik, melanggar serta merosakkan beberapa kenderaan di sepanjang perjalanannya.
Bas itu akhirnya berhenti di persimpangan Jalan Ampang-Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan pemandunya ditahan orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kemalangan itu, tetapi tidak mempunyai butiran lanjut.
FMT sedang menunggu maklum balas Prasarana, syarikat yang mengendalikan bas RapidKL.