Kes hubungan sejenis di Dungun: PAS bidas pengerusi Suhakam hina mahkamah

Kes hubungan sejenis di Dungun: PAS bidas pengerusi Suhakam hina mahkamah

Setiausaha agung PAS merujuk tindakan Razali Ismail mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman ke atas 2 wanita yang cuba melakukan hubungan sejenis, April lalu.

Free Malaysia Today
Takiyuddin Hassan menggesa Razali Ismail menarik balik kenyataannya atau PAS akan mengambil tindakan terhadapnya kerana menghina mahkamah.
KUALA LUMPUR:
PAS menyifatkan tindakan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail menghina mahkamah kerana mempertikaikan keputusan hakim dalam satu kes berkaitan hubungan sejenis di Dungun, baru-baru ini.

“Mahkamah Syariah Terengganu adalah mahkamah yang sah dari segi undang-undang digunakan oleh orang Islam sahaja, menghukum orang Islam yang didapati bersalah di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah.

“Dua orang ini telah mengaku salah di mahkamah dan mereka boleh dihukum oleh mahkamah,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang media bersama kepimpinan parti Islam itu di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman 6 sebatan dan denda RM3,300 ke atas 2 wanita yang cuba melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta di Dungun, April lalu.

Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas wanita berusia 22 dan 32 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Mereka juga akan dihukum penjara 4 bulan, jika gagal membayar denda itu.

Semalam, Razali mengecam keputusan itu dengan berkata, hukuman sebat dalam keadaan apapun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa.

“Hukuman sebegitu adalah menghina, merendahkan dan seolah-olah suatu usaha tindakan memalukan wanita-wanita itu dan keluarga mereka.

“Ia bertentangan nilai martabat manusia dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama,” kata Razali dalam satu kenyataan semalam.

Hari ini, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS membidas kenyataan Razali kerana orang ramai tidak boleh mempersoalkan hukuman dijatuhkan mahkamah.

“Ini adalah suatu kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang yang ada dan juga satu tindakan menghina mahkamah.”

Takiyuddin yang juga peguam, menggesa Razali menarik balik kenyataan itu atau PAS akan mengambil tindakan terhadapnya.

“Kalau tidak kita mungkin akan buat aduan kepada mahkamah bahawa beliau menghina mahkamah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.