
Katanya, khidmat majlis menasihat masih diperlukan untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai perkara dan khidmat majlis bukan hanya terikat kepada tempoh tersebut.
“Ada pandangan Majlis Penasihat Kerajaan perlu ditamatkan, tetapi saya belum buat keputusan, saya tidak cakap apa-apa tentang 100 hari (untuk tamatkan majlis itu).
“Saya masih perlukan khidmat mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan hospital pakar jantung swasta pertama negara, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CSVKL) di Kuala Lumpur Sentral.
Dr Mahathir turut memberitahu tidak ada had tempoh masa untuk kerajaan menggunakan khidmat majlis itu.
“Ia perlu wujud sehingga kita selesai atasi segala masalah,” katanya merujuk kepada pelbagai kepincangan yang didakwa berlaku pada zaman kerajaan sebelum ini.
Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel sebelum ini berkata, majlis penasihat itu sepatutnya dibubarkan bersekali dengan jawatankuasa penyiasatan 1MDB.
Mengulas mengenai janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) yang bakal tamat minggu ini, Dr Mahathir meminta rakyat memberi lebih masa kepada kerajaan baru menunaikan janji.
“Janji manifesto dibuat berdasarkan apa yang kita tahu tentang kerajaan sebelum ini, tetapi sekarang kami dapati keadaan negara lebih buruk, negara hutang banyak,” katanya.
Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketika ditanya tentang cabaran debat Rafizi Ramli semalam berikutan kempen pemilihan PKR yang sedang berjalan, Azmin enggan membuat sebarang ulasan.
“Tak apalah,” kata Azmin.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu bertanding menentang Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR dan dilaporkan berkata beliau bersedia berdebat dengan pesaingnya itu.
“Kalau tidak ada debat, amat memalukan kerana Umno melakukannya sebelum ini,” katanya dalam satu temu bual dengan Astro Awani malam tadi.