
Ahli Parlimen Rompin itu meminta Jawatankuasa Pemilih memberi peluang kepadanya untuk membuktikan dirinya tidak berbuat demikian, khasnya membabitkan dakwaan menyembunyikan surat timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
“Saya tidak mahu cakap banyak, sila bawa ke Jawatankuasa Pemilih adakah saya benar atau Tony Pua (PH-Damansara) yang benar. Biar jawatankuasa ini tentukan sama ada saya atau Damansara yang betul.
“Saya sedia berdepan jawatankuasa dan saya bertanggungjawab dengan apa yang saya buat, bahkan meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng beritahu saya agensi mana yang dapat sahkan syarikat Good Star Limited adalah milik Low Taek Jho atau Jho Low.
“Hari ini, polis, SPRM juga tidak tahu di mana dia (Jho Low) berada, dahulu juga kami tidak boleh panggil (dia),” katanya sewaktu membahas usul membuka semula dan mendedahkan siasatan 1MDB kepada umum di Dewan Rakyat, hari in.
Terdahulu, Lim ketika membentangkan usul itu mendakwa Hasan menyembunyikan surat BNM daripada pengetahuan ahli PAC.
“Surat tersebut jelas menamakan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Pulau Pinang, Low Taek Jho sebagai pemilik tunggal atau ‘sole beneficiary’ kepada syarikat Good Star Limited.”
Hasan berkata, beliau menerima sepucuk surat dari BNM pada 6 April 2016 dan laporan 1MDB perlu dibentangkan di Parlimen, keesokannya.
“Saya sudah maklumkan kepada PAC melalui surat saya mengenai BNM, bagaimana saya hendak menarik dan memanggil ahli-ahli PAC kalau surat datang pada 6 haribulan?”
Pua segera mempertikaikan kenyataan Hasan yang disifatkannya tidak munasabah kerana sekarang mempunyai kecanggihan teknologi.
“Boleh telefon atau tidak, bahkan kita ada minta soal siasat Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) kerana dia merupakan pengerusi penasihat 1MDB ketika itu. Kita hendak minta Pekan datang ke PAC, sekurang-kurangnya beri keterangan, tetapi PAC kata tidak boleh.
“Kemudian kata pula Pekan tidak terlibat. Jika tidak ambil keterangan, bagaimana tahu Pekan tidak terlibat? Kenapa ketika itu tidak minta Pekan datang ke PAC, bahkan ahli PAC dari BN juga menolak untuk memanggil Pekan?”
Lim dalam sesi penggulungan usul berkata, tujuan membuka semula siasatan skandal itu untuk memastikan pesalah utama 1MDB dikenakan tindakan.
“Ini bukan soal maruah sesiapa, ini soal maruah negara, yang kita mahu tujukan adalah pesalah utama 1MDB.
“Perkara utama adalah kebenaran dalam skandal 1MDB harus didedahkan dan PAC yang baru di Malaysia baru harus mendedahkan perkara itu pada rakyat Malaysia.”