
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, penyertaan dalam GBS tidak bermakna Umno Sabah meninggalkan BN.
“Mungkin gabungan ini lebih kepada satu platform untuk mereka mengusahakan isu berkaitan Sabah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Ketua Umno Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, Umno di peringkat kebangsaan masih bersama BN, tetapi BN bukan lagi entiti yang dikenali di Sabah.
Selain Umno, parti lain yang menyertai GBS adalah Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Pembangunan Rakyat Sabah (PRRS) dari Gabungan Sabah juga dijangka menyertai gabungan itu.
Pada 12 Jun lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sepakat meninggalkan BN untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) ekoran perkembangan politik semasa.
Askar Wataniah
Sementara itu, Khairy berkata, peletakan jawatannya sebagai komander Rejimen 508 Askar Wataniah dan pembatalan tauliah kerana kehadirannya tidak lagi diundang.
Katanya, beliau tidak tahu bila keputusan akan dibuat.
Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Januari 2010, sebelum ditauliah sebagai kolonel pada 28 Oktober 2013 dan dinaikkan pangkat kepada brigadier jeneral pada 14 Januari 2015.
Beliau ialah menteri Kabinet pertama menjadi brigadier jeneral sebenar dalam Askar Wataniah dan kekal sebagai komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan akan mengkaji semula amalan pengurniaan pangkat dan pemakaian tentera oleh ahli politik dan selebriti.
Cadangan Najib jauhi Umno
Sementara itu, Khairy berkata, saranan Datuk Seri Nazri Aziz supaya Datuk Seri Najib Razak menjauhkan diri daripada Umno ialah pandangan peribadi ahli Parlimen Padang Rengas itu.
“Itu pandangan sesetengah pihak dalam Umno bahawa bekas pemimpin perlu beri ruang sepenuhnya pada pemimpin baru untuk menjalankan tugas dan mencorakkan hala tuju baru.
“Saya setuju bahawa pemimpin baru dalam Umno perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju yang baru sebab itu bekas presiden perlu beri ruang.”