Orang ramai diminta bersabar siasatan ‘perlahan’ 1MDB

Orang ramai diminta bersabar siasatan ‘perlahan’ 1MDB

Sumber berkata, SPRM memerlukan lebih banyak masa berhubung dengan pihak berkuasa asing kerana peguam negara baru mengeluarkan bantuan perundangan bersama 2 bulan lalu.

Free Malaysia Today
Sumber berkata, pegawai SPRM akan ke negara lain untuk mengambil keterangan saksi berpotensi dalam siasatan ke atas skandal 1MDB. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sumber yang biasa dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dana kerajaan 1MDB menggesa orang ramai bersabar kerana pegawai agensi anti-rasuah itu memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul bukti di luar negara.

Beliau berkata, pegawai SPRM baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) serta Singapura, dan kini mereka perlu pergi ke negara lain untuk mengambil keterangan daripada saksi berpotensi.

Ini kerana katanya, dana berkaitan 1MDB sudah dipindahkan ke sejumlah institusi kewangan.

“Orang ramai perlu bersabar dengan siasatan SPRM kerana peguam negara hanya mengeluarkan bantuan perundangan bersama (MLA) 2 bulan lalu.”

Sumber itu mengulas dakwaan, khasnya oleh pemimpin Umno yang SPRM tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dihadapkan ke mahkamah 4 Julai lalu dengan 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 pertuduhan salah guna kuasa, yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Rabu lalu, Najib berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM42 juta dana SRC International ke dalam 2 akaunnya, 4 tahun lalu.

Syarikat tenaga itu pada asalnya ialah anak syarikat 1MDB, sebelum diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Najib akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Sumber itu memberitahu FMT yang siasatan SPRM tergendala kerana bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang dikatakan enggan mengeluarkan MLA untuk membolehkan penyiasat SPRM mengumpul bukti dari institusi kewangan negara lain.

“Selepas Peguam Negara baru, Tommy Thomas mengeluarkan MLA, kami perlu menangani isu logistik. Kami perlu berhubung dengan pihak berkuasa di negara yang kami akan pergi dan ini memerlukan masa,” kata sumber itu.

Katanya, ia turut menggandakan usaha melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada 26 Januari 2016, Apandi mengumumkan transaksi RM2.6 bilion adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dan membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, pemfailan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman AS mendakwa RM2.6 bilion ialah sebahagian daripada dana 1MDB.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, siasatan 1MDB hanya siap 50% dan beliau berharap ia akan diselesaikan secepat mungkin.

“Fokus saya sekarang ialah pada kes semasa yang membabitkan dana RM2.6 bilion.

“Mari berdoa kes ini diselesaikan tidak lama lagi,” katanya merujuk RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.