
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata kerajaan juga menyekat dan mengkaji semula pembinaan 2 MRSM di Ketereh dan Tanah Merah, Kelantan.
“Jika dikatakan kerajaan lama hendak bina MRSM berbayar, buat setakat ini kita tidak berhasrat meneruskan pembinaan sekolah tersebut. Kita hendak penuhkan dahulu, kita ada 54 sekolah MRSM seluruh negara.
“Dalam perancangan memang ada 2 MRSM yang telah (dirancang pembinaannya) di Ketereh dan Tanah Merah, Kelantan. Itu disekat dan dikaji.
“Namun, InsyaAllah ia akan dilaksanakan mengikut keadaan kewangan negara semasa,” katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Rina berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang memintanya menjelaskan apakah status pembinaan 2 MRSM tersebut dan MRSM berbayar.
“Kita menyedari MRSM ini pada asalnya untuk membantu masyarakat luar bandar, namun lama-kelamaan ia dilihat sebagai sekolah elit untuk orang tertentu sahaja.
“Jadi ini yang perlu dikembalikan peranannya, terutamanya masyarakat di luar bandar,” kata Rina.
Cadangan pembinaan MRSM berbayar dibuat bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah menerima cadangan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi untuk diterima belajar di institusi itu.
Ismail berkata, cadangan penubuhan MRSM tersebut dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang yang layak berpelumg menyambung pembelajaran di sekolah berasarama penuh.