Mujahid pertahan keputusan turunkan potret transgender

Mujahid pertahan keputusan turunkan potret transgender

Menteri hal ehwal Islam berkata dia mahu melindungi keselamatan golongan transgender.

PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa mempertahankan keputusan menurunkan portret aktivis transgender, Nisha Ayub, kerana mahu melindunginya serta golongan itu.

“Saya ambil tindakan itu untuk melindungi orang seperti ini. Jangan letakkan gambar dan melabel mereka yang bukan LGBT. Nisha bukan LGBT,” kata pada sidang media di Kompleks Islam Putrajaya (KIP) hari ini.

“Keputusan menurunkan gambar itu adalah tetap. Bayangkan apa yang akan berlaku jika ia kekal selama sebulan?”

Beliau mengadakan sidang media itu bersama Nisha, selepas satu pertemuan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Pertemuan 6 mata itu diadakan bagi membincangkan isu yang membelenggu golongan transgender. Mesyuarat berlaku ditengah-tengah kecaman orang ramai terhadap arahan menurunkan portret Nisha dan seorang lagi individu, Pang Khee Teik, di Pameran “Stripes and Strokes” sempena Festival George Town 2018.

Pameran itu membawa tema patriotisme rakyat Malaysia.

Mujahid sebelum ini berkata arahan dikeluarkan kerana gambar itu seolah-olah mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) maka ia menyalahi dasar kerajaan.

Festival George Town ditaja kerajaan dan agensi-agensi dibawahnya dan diadakan secara tahunan.

Arahan itu mencetuskan tindak balas daripada sesetengah pihak, termasuk aktivis Datin Marina Mahathir dan peguam Siti Kasim, yang turut meminta penganjur menurunkan gambar mereka sebagai tanda solidariti dengan Nisha dan Pang.

Pada sidang media hari ini, Nisha berkata dia tidak tahu gambarnya digunakan untuk pameran itu dan hanya mengetahui tentangnya daripada laporan media apabila isu LGBT sekali lagi hantar diperkatakan.

“Saya hanya mewakili komuniti saya,” katanya menafikan dia mewakili LGBT.

Nisha memberitahu dia dikecam masyarakat dan menerima ugutan bunuh daripada golongan yang tidak bersetuju dengan keadaan dirinya.

“Melihat kecaman yang dilemparkan masyarakat, saya tidak kisah lagi jika ia diturunkan atau tidak kerana saya bimbang dengan impak terhadap komuniti ini,” katanya.

Nisha berkata gambar itu dirakam seorang jurugambar tahun lalu dan fokus gambar itu bukan mengenai LGBT tetapi kemerdekaan.

Kedutaan AS sokong aktivis LGBT yang diturunkan foto

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.