
“Saya menyokong dan mengalu-alukan,” katanya kepada FMT.
“Kalau sebelum ini mereka bantah ketika kita mahu laksanakan, tapi mengikut jawapan yang saya dengar daripada menteri itu semalam, mereka sudah kaji keberkesanannya, maknanya mereka bukan buat keputusan berdasarkan dendam.”
Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammad Din Ketapi dilaporkan berkata, tindakan menghapuskan cukai itu akan merugikan negara.
Katanya, hasil penelitian kementeriannya bersama Kementerian Kewangan mendapati cukai pelancongan itu memberi keuntungan kepada negara dan tidak memberi kesan negatif kepada pelancong tempatan.
Nazri berkata, keputusan kerajaan PH meneruskan cukai pelancongan turut membuktikan langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan cukai itu adalah tepat dan menguntungkan negara.
“Sama ada kerajaan BN atau PH, jika ia tidak menyusahkan rakyat, saya tiada masalah.
“Yang penting majukan pelancongan kerana pelancongan itu merupakan satu sektor yang menjana pendapatan negara.”
Cukai pelancongan yang berkuat kuasa pada 1 September 2017 mengenakan kadar rata RM10 satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau rumah penginapan berdaftar.
Pelaksanaan cukai itu mendapat kritikan pelbagai pihak, terutamanya pemain industri pelancongan kerana ia dilihat menghalang kemajuan industri pelancongan.
Pada 19 Julai lalu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia, PK Leong menggesa kerajaan mengecualikan cukai pelancongan kepada pelanggan mereka kerana mendakwa industri itu mengalami penurunan keuntungan sebanyak 20% sejak cukai itu dilaksanakan.
Beliau mendakwa ramai pelancong memilih sama ada menempah penginapan mereka melalui Airbnb atau tidak melawat Malaysia sama sekali kerana cukai itu.